TERAJU Kenal Pasti 80 Usahawan

berita harian

Oleh Nor Amalina Alias

bhkb@bharian.com.my

2012/04/14

BACHOK: Seramai 80 usahawan Bumiputera di negara ini yang mempunyai potensi tinggi dalam bidang perniagaan masing-masing sudah dikenal pasti kerajaan untuk mendapat manfaat daripada dana Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata jumlah itu dijangka meningkat sehingga 100 usahawan dalam masa terdekat.

“Melalui bantuan kewangan tabung memudah cara pelaburan yang disalurkan TERAJU, usahawan yang berpotensi ini akan menerima bantuan kewangan 15 peratus daripada jumlah keperluan mereka,” katanya selepas program gotong-royong penduduk Kampung Beris, dekat sini, semalam.

TERAJU bertanggungjawab menerajui, mengurus dan memacu penyertaan golongan Bumiputera menerusi inisiatif baru serta sedia ada untuk mencapai aspirasi kerajaan meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera kepada 30 peratus menjelang 2020.

Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pengwujudan satu Dana Mudah Cara berjumlah RM2 bilion untuk kegunaan syarikat Bumiputera berkelayakan melalui TERAJU.

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata, kerajaan tidak menumpu kepada jumlah Bumiputera dalam bidang keusahawanan, sebaliknya memastikan usahawan dipilih mendapat bantuan supaya berpotensi bersaing dan kekal dalam pasaran.

 

Beliau berkata, dengan peruntukan diberi kerajaan, usahawan Bumiputera harus menggunakan peluang sebaiknya dan sentiasa meningkatkan produktiviti bagi memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

“Kerajaan tidak memberi bantuan berpanjangan berikutan sumber terbatas, sebaliknya kita juga mahu mereka mampu berdiri sendiri supaya mampu bersaing dalam pasaran dan memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, potensi usahawan ini dinilai dan diberi bintang oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) berdasarkan peningkatan dalam membangunkan perniagaan.