Syarikat Teras Terokai ASEAN

Friday, 23 November 2012

Oleh FAIRUS KASSIM
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berstatus Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) perlu menerokai pasaran eksport untuk membentuk persekitaran perniagaan yang mapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika ini, secara purata sumbangan eksport kepada perolehan syarikat berkenaan hanya lima peratus.
Katanya, ketika ini lebih 250 buah syarikat berstatus Teras telah menjana perolehan sekitar RM10 bilion setahun.
“Lima peratus terlalu sedikit dan mereka perlu menembusi pasaran baharu terutamanya ASEAN yang mempunyai lebih 600 juta penduduk.

“Mereka tidak boleh terus bergantung kepada pasaran tempatan dan perlu keluar bagi membentuk pertumbuhan perniagaan yang mapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi dialog bersama beliau sempena Seminar Tawaran Awam Permulaan (IPO) anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp.) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim.
Sementara itu mengulas mengenai seminar berkenaan, Mustapa turut menyarankan agar SME Corp. dan Teraju terus memainkan peranan dalam membantu syarikat Bumiputera mencapai matlamat penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Seminar seperti ini sangat baik dan memberi fokus kepada syarikat Bumiputera. Dengan pendedahan yang diberi mereka akan mendapat maklumat mengenai proses dan persedian yang perlu diambil.
“Melalui IPO mereka boleh mengembangkan perniagaan ke satu tahap yang lebih baik. Pendedahan perlu dilakukan kepada syarikat yang berpotensi,” jelasnya. – UTUSAN

 

Posted by shafie at 19:53