Superb Jadikan Impian Satu Realiti

ber

SUPERB Bantu Jadikan Usahawan Bumiputera Satu Realiti

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) — Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB), kini menjangkau siri ketiganya, berazam untuk membantu menjadikan impian usahawan Bumiputera satu realiti.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) berkata ia akan membantu individu atau syarikat baharu Bumiputera yang berpotensi mendapatkan geran berjumlah hingga RM500,000 melalui ide perniagaan mereka yang inovatif dan kreatif.

Pengarah Program Koridor Ekonominya, Bestari Abrar Nasiruddin, berkata dalam Siri 3, peserta-peserta mendapat peluang berharga untuk membuat pembentangan di hadapan ahli-ahli panel yang berpengetahuan dan pengalaman, bermula dengan Jerayawara BizPitch.

“Peringkat ini amat penting bagi kami untuk memilih peserta separuh akhir, berikutan permohonan yang sangat banyak dalam talian sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan piawaian tinggi bagi siri-siri sebelumnya, penanda aras untuk meneruskan pusingan berikutnya dijangka lebih tinggi lagi.

Bestari berkata beliau berharap kemasukan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia dalam senarai sepuluh agensi strategik kerajaan akan memberikan input yang berharga untuk memperkukuh lagi jenama SUPERB dan menambah baik proses pemilihan dan kualiti peserta.

Sementara itu, TERAJU berkata Jerayawara BizPitch akan menyaksikan SUPERB mengadakan siri jelajah ke Johor Bharu, Kota Kinabalu, Kota Bharu, Sungai Petani, dan Cyberjaya untuk memperkenalkan program itu dan untuk memastikan ia sampai kepada orang ramai.

“Peserta separuh akhir yang terpilih akan melalui latihan intensif selama tiga hari di Cyberjaya dari 22 hingga 24 Sept.

“Ini bertujuan meningkatkan kemahiran membuat cadangan dan pembentangan perniagaan bagi separuh akhir dan kemungkinan mara ke pusingan akhir yang masing-masing akan diadakan pada 25 dan 27 Sept,” katanya.

— BERNAMA