SEDIA Akan Bersungguh-sungguh Tarik Pelaburan Untuk Fasa Kedua SDC

ber

KOTA KINABALU, 10 Jun (Bernama) — Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), agensi sehenti untuk memacu Koridor Pembangunan Sabah, akan berusaha secara habis-habisan untuk menarik pelaburan bagi merancakkan lagi pembangunan fasa kedua SDC.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata sehubungan dengan itu, SEDIA telah menyertai dalam pelaburan dan misi perdagangan yang ditaja oleh negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri/Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di dalam dan luar negara.

“Sambutan daripada misi-misi ini amat menggalakkan, berjaya mendorong lebih banyak kepentingan dan menarik pelaburan yang signifikan dalam sektor-sektor yang dipromosikan di bawah SDC dan yang digariskan di bawah Halatuju Agenda — pelancongan, pertanian dan pembuatan,” kata beliau dalam ucapan pembukaan di mesyuarat yang ke-13 ahli lembaga itu di sini Isnin.

Musa, yang juga merupakan pengerusi SEDIA berkata agensi itu akan turut mempromosikan secara aktif perusahaan kecil dan sederhana, terutamanya usahawan Bumiputera.

Beliau berkata yang SEDIA telah bekerjasama dengan TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) untuk merancakkan penyertaan usahawan Bumiputera dan sekretariat telah ditubuhkan di pejabat SEDIA untuk tujuan ini.

Sekretariat itu akan menyediakan akses kepada dana pemudahan untuk usahawan Bumiputera dan program TERAS di bawah TERAJU, kata beliau.

Dalam hal ini, Musa berkata yang TERAJU telah memperuntukkan RM100 juta untuk usahawan Bumiputera di Sabah.

“SEDIA juga telah memeterai memorandum persefahaman dengan SME Bank dengan tujuan membimbing PKS yang terlibat dalam aktiviti ekonomi di SDC, serta mewujudkan akses kepada pembiayaan yang diperlukan,” kata beliau.

Selain daripada itu, beliau berkata, SEDIA telah menganjurkan kursus di Sabah Agro-Industrial Precinct, bagi menggalakkan agro-perniagaan dalam sektor termasuk farma-herba, penternakan dan pemprosesan sarang burung, agro-organik dan industri agro-makanan dan biosains dan bioteknologi.

Musa berkata SEDIA telah mengambil langkah-langkah untuk menangani keperluan modal insan pelabur, dan juga mengadakan perbincangan dengan institut pendidikan tempatan dan asing untuk menyertai dalam program pembangunan modal insan di Sabah, terutamanya di Hab Pendidikan Sandakan.

Sementara itu, Musa turut gembira untuk memaklumkan yang SEDIA telah menerima sejumlah RM1.506 bilion daripada peruntukan di bawah projek Rancangan Malaysia Kesembilan dan Rancangan Malaysia Ke-10, dan daripada jumlah ini, 84 peratus telahpun dibelanjakan