Ramly Unjur Perolehan RM2 Bilion 2017

utusan ler

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kumpulan Ramly, syarikat pengeluar pro­duk sejuk beku halal mengunjurkan peningkatan perolehan sebanyak 100 peratus kepada RM2 bilion menjelang tahun 2017 apabila kompleks pengeluaran di Pulau Indah, Selangor, siap sepenuhnya

lalala

Pengarah Urusan Kum­­pulan Ramly, Datuk Ramly Mokni berkata, pembinaan kompleks bernilai RM1 bilion itu sedang dijalankan dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2017 dan akan mula beroperasi pada 2018.

Beliau berkata, kompleks tersebut yang dibina di tapak seluas 8.5 hektar, akan mempunyai kilang pengeluaran, depot penyimpanan, logistik halal, pusat latihan, pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D), selain menjadi vendor kumpulan.

Katanya, ketika ini pengeluaran Kumpulan di kilang sedia ada sudah pun mencapai tahap maksimum iaitu sebanyak 100 metrik tan produk halal sejuk beku sehari.

“Apabila kompleks itu siap nanti, volum pengeluaran boleh ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda kepada 300 metrik tan sehari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas program ‘Lawatan Turun Padang’ Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan ke kilang Ramly Food Processing Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian IKS Mukim Batu, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin; Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Ramly, Datin Shala Siah Abdul Manap.

Ramly berkata, syarikat ketika ini mengeluarkan 50 jenis produk untuk memenuhi pasaran dalam negeri dan di enam buah negara iaitu Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja, Bangladesh dan Indonesia.

“InsyaAllah dengan terbinanya kompleks ini bukan sahaja ia akan merealisasikan hasrat pengusaha bumiputera seperti saya untuk berkembang luas di arena antarabangsa dengan menambah nilai eksport berkali ganda, malah menjadi landasan untuk kami bersaing dengan lebih sihat dengan produk-produk telah tersedia di pasaran dunia.

“Kami yakin amalan standard (SOP) kami yang sedia ada dan diakui kualitinya akan dapat memenuhi kriteria ketat telah ditetapkan oleh negara-negara pengimport bernilai tinggi pasaran produk makanan halal di Eropah, Jepun, Korea, Asia Barat dan lain-lain,” katanya yang turut sedia menyahut seruan Ahmad supaya Kumpulan Ramly menembusi pasaran rantau berkenaan.

Mengulas lanjut, Ramly berkata, pembiayaan kompleks itu akan diperolehi melalui pinjaman daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (MPMB).

Beliau berkata, setelah pembinaan kompleks tersebut selesai, Kumpulan Ramly juga berhasrat menambah bilangan Halal Mart dan kios sedia ada kepada 450 buah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.