Peruntukan RM100 Juta Untuk Pembangunan Usahawan Bumiputera Di Koridor Pembangunan Sabah

teraju dalam proses AUG

05 Jun, 2012 16:57 PM

KOTA KINABALU, 5 Jun (Bernama) — Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperuntukkan RM100 juta daripada Dana Mudah Cara yang berjumlah RM2 bilion bagi membiayai inisiatif-inisiatif pembangunan di Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata dana itu diperuntukkan bagi membantu syarikat dan usahawan Bumiputera dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik bagi tempoh dua tahun.

“Saya pasti peruntukan itu dapat digunakan penguasaha sebagai ‘facilitation fund’ dan membantu golongan bumiputera di Sabah dan ini bukan satu cara dan kaedah yang disalurkan kerajaan, tetapi kita mahu sebanyak mungkin saluran untuk memberi faedah kepada bilangan yang sebanyak mungkin di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Jejak 2012 di sini Selasa.

Program itu dilancarkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Hadir sama Ketua Eksekutif Teraju Husni Salleh.

Nor Mohamed berkata Jejak 2012 merupakan inisiatif Teraju yang menumpukan kepada usahawan Bumiputera seluruh negara, bermula di Koridor Utara selain dikembangkan ke Sarawak pada 6 dan 7 Mac lepas dan akan diteruskan di Johor, dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Kuantan (Pahang). — BERNAMA