Perspektif: TPPA Letak Negara Di Pentas Dunia

 

heih

IRMOHIZAM: Adalah tidak adil jika kita melihat perjanjian ini hanya dari perspektif negatif sahaja sedangkan terdapat banyak faedah yang menguntungkan negara-negara perjanjian termasuk negara kita sendiri khususnya. – Gambar Fail

 

KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menerangkan tentang TPPA kepada rakyat. Pujian juga harus diberikan kepada MITI kerana telah berusaha untuk menerangkan kewajaran penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada rakyat.
Ini jelas membuktikan bahawa sikap keterbukaan kerajaan dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan masa depan negara demi kepentingan rakyat adalah amat dititik beratkan.
Teks TPPA yang mengandungi 6350 muka surat ini telah didedahkan kepada umum, disamping itu juga, MITI turut menerbitkan buku  ‘Jawapan Kepada Kebimbangan, Salah Faham dan Tuduhan’ mengenai TPPA. Selain itu, ringkasan teks TPPA juga turut dimuatnaik di dalam laman sesawang MITI agar rakyat tidak terkeliru dengan pelbagai tomahan.
Penyertaan Malaysia ke dalam TPPA adalah perlu bagi mengelak risiko dasar hubungan erat dan mesra Malaysia dengan Negara-negara lain. Sekiranya kita menyertai TPPA, dari sudut politiknya kita dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan kebanyakan negara, manakala dari segi urusan ekonomi, institusi formal Malaysia terlibat terutamanya dengan ASEAN dan rakan dialognya.
Dari sudut lain, jika Malaysia bukan sebahagian daripada TPP, bakal pelabur akan memilih untuk berdagang di negara-negara jiran lain yang menjadi sebahagian daripada perjanjian itu. Kini, Malaysia mempunyai 13 perjanjian perdagangan bebas yang mewakili 65 peratus daripada perdagangan global.
Negara-negara TPP menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia kesemuanya bernilai AS$107.5 (RM 470 trillion, 26% daripada jumlah dagangan dengan kira-kira 793 juta pengguna) dan satu pertiga daripada perdagangan  global.
Keperluan seterusnya, dari sudut perdagangan, sekiranya kita tidak menyertai TPPA, maka Malaysia berisiko mengalami peralihan perdagangan.  Misalnya, bagi industri tekstil dan pakaian, Amerika Syarikat adalah destinasi eksport paling penting terhadap Malaysia dan diikuti oleh Jepun.
Jika kita memilih keluar dari TPP Malaysia berisiko mengalami peralihan perdagangan, memandangkan negara-negara yang mengambil bahagian mempunyai akses yang lebih besar dan sudah semestinya keutamaan diberikan kepada negara-negara anggota.

BACA: TPPA: Kerajaan akan pastikan PKS tidak gulung tikar
BACA: Kerajaan kini sedia hadapi cabaran, peluang menerusi pelaksanaan TPPA
BACA: Usul penyertaan Malaysia dalam TPPA diluluskan Dewan Rakyat
Tambahan pula input dagangan dari negara-negara yang menyertai TPPA akan menjadi lebih murah. Sudah pasti negara yang menyertai TPP hanya akan mengambil peluang ini. Kesan keseluruhan diperingkat negara, mungkin tidak kelihatan besar, tetapi kos peralihan perdagangan boleh menjadi sangat penting bagi industri-industri tertentu dan untuk pendapatan eksport Malaysia.
Antara keperluan lain dari sudut pengkesportan, Malaysia akan berupaya untuk mengakses kepada tarif rendah atau sifar pasaran eksport. Hal ini jelas menunjukkan bahawa keterbukaan pasaran eksport adalah peluang yang besar terutama bagi pengeksport yang ingin membuka pasaran luar.
Agromakanan: Kualiti makanan halal tidak terjejas.
Bab 7 di dalam Perjanjian yang merangkumi bab Sanitari dan Fitosanitari , merujuk kepada Artikel 7.3 dalam Perjanjian telah menerangkan bahawa negara TPP dibenarkan untuk memperkenalkan atau mengekalkan keperluan syarat-syarat halal untuk pengimportan produk mengikut hukum syarak sebagaimana yang  Islam telah tetapkan. Justeru ini jelas menunjukkan tiada kebimbangan bahawa TPPA ini akan menghalang Malaysia daripada meneruskan sistem pensijilan dan penggunaan logo halal.

Realitinya, Halal bukan sahaja dilihat dari sudut keagamaan tetapi satu komponen penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran halal global. Negara bukan Islam juga mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana konsep halal itu sendiri menekankan segenap aspek terutamanya seperti kebersihan, pengendalian makanan dan bahan yang digunakan.
Subsidi Eksport Pertanian.
Bagi menggalakan bidang pertanian terus berkembang, subsidi eksport tidak akan diteruskan oleh kerajaan selepas menandatangani TPPA. Jika sebelum ini subsidi eksport dibenarkan oleh WTO, di dalam Perjanjian ini pula terdapat obligasi untuk negara TPP untuk tidak membenarkan subsidi eksport ke atas barangan pertanian yang akan dieksport ke Negara TPP yang lain.
Artikel 2.21 TPP telah menggariskan keperluan Negara TPP berkongsi matlamat untuk menghapuskan subsidi eksport bagi barang pertanian, serta bekerjasama dengan WTO untuk menghapuskan dan tidak mengenakan semula subsidi tersebut dalam apa jua bentuk.
Larangan subsidi eksport ini akan memberi faedah dari segi harga produk pertanian Amerika Syarikat yang tidak akan menjejaskan pasaran global. Ini juga selaras dengan komitmen di bawah WTO perjanjian untuk ahli-ahli WTO untuk menghapuskan subsidi eksport secara berperingkat  untuk produk pertanian.
Penghapusan segala bentuk subsidi eksport pertanian akan memberi sumbangan besar kepada pembaharuan perdagangan pertanian, dan akan meningkatkan peluang perdagangan dan pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara yang sedang membangun. Dengan menghapuskan subsidi eksport, pengeksport pertanian akan dapat bersaing dengan harga dan kualiti produk mereka.
Impak TPPA kepada sektor perikanan
Mengikut perdagangan hari ini, daripada jumlah eksport ikan dan produk ikan Malaysia pada tahun 2014, 72.6% adalah yang didagang kepada negara TPP.  Pengimportan ikan dan produk ikan daripada Negara-negara TPP hanya meliputi 17.45% dari jumlah import Malaysia. Dari segi nilai, Malaysia telah mengeksport RM1.96 billion merangkumi produk makanan laut kepada Negara-negara TPP dan hanya mengimport RM615.85 million daripada Negara-negara TPP.
Ini menunjukkan terdapat baki perdagangan atau balance of trade (BOT) antara Malaysia dengan negara-negara TPP sebanyak RM1.34 billion untuk perdagangan makanan laut.
Negara-negara TPP menawarkan penghapusan duti 100% kepada Malaysia untuk semua ikan dan produk ikan. Dengan penghapusan duti untuk makanan laut oleh semua Pihak TPP, eksport Malaysia akan meningkat di pasaran negara-negara TPP.
Secara keseluruhannya, untuk Industri perikanan, dengan eksport besar sebanyak RM1.96 bilion pada 2014 yang didagang kepada negara-negara TPP, sektor agromakanan adalah dijangka untuk mendapat manfaat yang terbaik daripada penghapusan duti dalam TPPA berikutan penghapusan duti menyeluruh oleh semua pihak didalam TPP. Kita tidak seharausnya melepaskan peluang ini, kerana hal ini akan memberi manfaat kepada semua peringkat termasuk nelayan-nelayan dan operator untuk projek akuakultur.
Impak TPPA kepada sektor penternakan
Untuk bidang ternakan pula, hari ini Malaysia telah mengeksport RM542.3 million yang merangkumi produk ternakan kepada negara-negara TPP dan hanya mengimport RM18.2 milion daripada negara-negara TPP.
Ini menunjukkan baki perdagangan (balance of trade) di dalam perdagangan ternakan untuk Malaysia adalah sebanyak RM524.1milion.
Secara keseluruhannya, untuk bahagian penternakan, Negara-negara TPP akan menghapuskan atau mengurangkan duti ke atas ayam hidup, daging ayam dan produk ternakan yang diproses. Sebagai sebuah negara yang mempunyai industri ternakan yang matang, tawaran daripada TPP akan menyediakan peluang yang lebih besar untuk mengembangkan pengeksportan  produk ternakan ke negara-negara TPP.
Namun begitu, kerana kebanyakan pihak TPP juga  mempunyai industri penternakan yang matang, peningkatan dalam eksport dijangka tidak berubah secara drastik.
Tetapi, produk-produk seperti produk ternakan yang diproses akan mempunyai potensi yang tinggi, dan pensijilan halal Malaysia pada produk ayam akan menyediakan peluang yang lebih khusus untuk memasuki negara-negara TPP.
Pada masa yang sama, Malaysia tetap mengekalkan sekatan kuota pada ayam hidup dan produk ayam. Oleh itu, aktiviti import produk-produk ini masih perlu memohon peruntukan kuota daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar  yang turut memantau perkembangan dalam industri domestik.
Justeru, kita tidak seharusnya bimbang mengenai perdagangan ternakan kita kerana kita telah mempunyai prosedur domestik yang cukup untuk mengawal dan memantau pengimportan produk itu daripada memberi kesan kepada industri tempatan.

Impak TPPA kepada sektor beras

 

Kerajaan boleh meneruskan sistem pengimportan dan pengedaran beras di Malaysia sebagaimana yang telah dijelaskan di (dengan izin) Footnote 4, Chapter 2 – Article 2.11;

Import and Export Restrictions”..This paragraph shall not apply to the importation or distribution of rice and paddy in Malaysia.”
Menandatangani TPP tidak akan menghalang kerajaan untuk meneruskan Dasar Agromakanan 2011-2020 untuk menyokong industri dan meningkatkan pendapatan petani. Ironinya, rata-rata rakyat risau dengan beras Amerika akan memanipulasi harga beras tempatan.
Harus diingat,  beras dari Amerika Syarikat tidak akan mengancam beras tempatan Malaysia. Beras-beras yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat adalah kurang digemari oleh pengguna-pengguna domestik.
Pada 2014, import beras dari Amerika Syarikat hanya mewakili 0.05% daripada jumlah beras yang diimport oleh Malaysia.Harga beras import daripada Amerika Syarikat ialah di antara RM3.90 dan RM9.00 sekilogram, berbanding di antara RM1.65 dan RM2.60 sekilogram bagi beras tempatan.
Perbandingan harga runcit ini menunjukkan harga beras tempatan mempunyai manfaat dari segi harga daripada beras yang diimport oleh negara-negara TPP. Justeru, TPP ttidak akan memberi impak kepada beras di Malaysia.
TPPA tidak menggugat kedaulatan negara.
Kita perlu melihat perjanjian ini daripada perspektif yang jelas dan terbuka memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang ingin menikmati faedah daripada perdagangan bebas. Tiada alasan untuk membelakangkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara hanya kerana untuk menandatangani TPPA.
Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidak selarasan itu.”.
Hakikatnya, merujuk kepada Perkara 4(1) ini, TPPA telah dirundingkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan polisi Negara. Hak-hak rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa kekal seperti sedia ada.
Tiada ruang untuk TPPA ini mengubah kuasa kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Sebagai kerajaan yang telus dan bertanggungajawab, sekiranya ada peruntukan dalam TPPA yang memerlukan undang-undang dan polisi yang perlu dipinda, kita perlu ketahui bahawa pindaan itu dibuat setelah mengambil kira faedah yang akan diperoleh kerajaan dan orang awam.
ISDS

Terdapat kegusaran mengenai isu kedaulatan negara yang mungkin akan tergadai disebabkan sesebuah syarikat boleh menyaman kerajaan. Isu serius seperti ini juga turut membimbangkan saya, bagaimana nanti nasib rakyat Malaysia sekiranya negara ini tergadai. Namun kebimbangan ini terpaksa saya hapuskan berikutan proses mekanisme perjanjian TPP ini cukup jelas.
Mekanisme ISDS ini bukanlah sesuatu yang baru,  dan kita telah menandatangani 74 perjanjian jaminan pelaburan (IGA) 2 hala dan 8 FTA yang mengandungi mekanisme ISDS. Merujuk kepada Article 9.1.7 di bawah perkara consultation and negotiation, sekiranya pelabur asing mendakwa dianiaya, maka penyelesaian pertikaian adalah dalam tempoh 6 buan melalui cara damai sama ada melalui rundingan atau menerusi pengantaraan.Sekiranya proses ini gagal, pelabur asing boleh mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih efektif menerusi forum timbang tara.

Bagi mendengar kes timbang tara ini, pembentukan Tribunal diwujudkan, pihak yang bertelingkah masing-masing melantik penimbang tara dan kedua-dua penimbang tara bersepakat melantik penimbang tara ketiga sebagai pengerusi. Setelah itu barulah boleh persidangan tribunal dijalankan secara telus.
Ini jelas termaktub di dalam Artikel 9.24 : Para 3 Governing Law yang menyatakan sekiranya TPP dirujuk kepada Suruhanjaya TPP keputusan Suruhanjaya TPP berkenaan isu interpretasi tersebut akan terpakai pada Tribunal yang mana keputusan Tribunal hendaklah selaras dengan interpretasi tersebut.
Proses konsultasi dan rundingan adalah suatu penambahbaikan yang mana akan meliputi hak kerajaan dalam melindungi kesihatan awam dan keselamatan.Tuntutan akan hanya berkuatkuasa setelah proses perundingan selama 6 bulan dijalankan sebelum dirujuk ke tribunal arbitrasi antarabangsa.

 

Kita harus lihat penambahbaikan ini sebagai suatu yang positif kerana tiada tuntutan yang tidak munasabah atau ‘frivolous claim’ yang boleh dibuat oleh mana-mana pihak apabila berlaku pertikaian. Pelabur mesti membuktikan kerugian yang dialami akibat pelanggaran kewajipan yang diperuntukkan di dalam Seksyen A didalam bab pelaburan.

Harus diingat, dalam kes Malaysia, tiada tuntutan untuk tempoh 3 tahun dari tarikh mula berkuat kuasa bagi nilai kontrak perolehan kerajaan seperti yang dinyatakan di dalam Annex 9-K, di bawah Bahagian Pelaburan.
Malaysia harus menjadi destini Pusat Suruhanjaya TPP atau lokasi Tibunal tersebut bagi mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ini bermakna, TPPA bukanlah suatu perjanjian yang zalim seperti yang dicanang oleh beberapa pihak, kerana tiada mana-mana pihak boleh sewenang-wenangnya menyaman suatu pihak yang lain, tanpa melalui konsep rundingan.
Rundingan adalah suatu proses yang selaras dengan galakan Islam, untuk menjalani musyawarah sebelum kita bertindak terhadap sesuatu yang lain. Seperti yang dinyatakan didalam Al-Quran, Surat Al-Imran ayat 159:-
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

Mengikut laporan Analisis Kepentingan Nasional Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dijalankan oleh PwC seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Malaysia bertarikh 4 Disember 2015, perlindungan pelabur di bawah mekanisme kemasukan Pelabur-penempatan Pertikaian Negeri (ISDS) akan menggalakkan pelaburan baharu, khususnya pelaburan bernilai tambah yang tinggi.
Menurut Laporan Mudah menjalankan Perniagaan Bank Dunia, perlindungan pelabur oleh kebanyakan negara-negara TPPA lain berada di kedudukan lebih rendah dari Malaysia. Kedudukan tersebut diukur berdasarkan perlindungan yang diberikan sesebuah negara kepada pelabur minoriti daripada konflik kepentingan dan pemegang saham hak dalam tadbir urus korporat.
TPPA untuk golongan muda
Tarif rendah atau sifar pasaran eksport akan menggalakkan lagi pengeksportan barangan buatan Malaysia ke luar negara yang menyertai perjanjian ini.
Inilah peluang yang dinantikan oleh para usahawan terutamanya golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan sekaligus berhubung dengan dunia luar secara lebih praktikal. Ini juga akan membantu golongan muda untuk menjadi lebih berani untuk mengembangkan perniagaan mereka di persada antarabangsa.

Dorongan seperti ini akan menarik ramai penganggur untuk berani berniaga dan ini akan mengurangkan lagi kadar pengangguran serta mewujudkan peluang pekerjaan. Jaminan ini telah dinyatakan oleh Kumpulan Bank Dunia, bahawa selain ia memacu pelaburan dan perdagangan, TPPA juga akan membawa masuk banyak pekerjaan yang lebih berkualiti.
Sememangnya kita perlu yakin terhadap barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan. Barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dan diusahakan oleh anak-anak tempatan sebenarnya adalah setanding dengan produk antarabangsa yang lain.
Menurut laporan media, Utusan Online yang bertarikh 28 Oktober 2014,  Tasik Temenggor menjadi hab ikan tilapia untuk menternak dan memproses ikan tilapia kepada produk makanan berkualiti tinggi dan digemari oleh rakyat luar negara khususnya seperti di Brussel, Canada dan Amerika Syarikat.
Turut dilaporkan oleh Ahmadul Mokhtar Mohd Hayani Alma, Penasihat (Asasi Pertanian) di Pejabat Perwakilan Pertanian Malaysia, produk Malaysia mempunyai pasaran yang baik di Eropah, yang mana ia telah terbukti pada tahun 2014 apabila nilai eksport ke Kesatuan Eropah meningkat sebanyak 21.74 peratus (RM62.732 juta) berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM51.531 juta.
Yakinlah bahawa dengan menyertai TPPA, nilai eksport akan terus meningkat dan akan menyaksikan produk Malaysia menjadi lebih terkenal.

TPPA galak persaingan adil SOE
TPPA menggalakkan persaingan yang adil dalam kalangan perusahaan negara-negara ahli termasuk SOE. Berdasarkan PricewaterhouseCoopers (PwC) pekara tersebut terpakai kepada mana-mana syarikat SOE dalam perjanjian perdagangan.

Dibawah perjanjian perdagangan, SOE didefinisikan sebagai entiti komersial dan aktiviti kerajaan yang memiliki lebih daripada 50% modal saham, menguasai lebih daripada 50% hak mengundi dan memegang kuasa untuk melantik majoriti lembaga pengarah atau pihak pengurusan.
Namun, Malaysia telah diberi kelonggaran dengan dibenarkan untuk memberi keutamaan keatas pembelian sehingga 40% daripada pembelian belanjawan tahunan.

Syarikat Petronas turut diberi kebenaran mengutamakan aktiviti huluan sehingga 70% pada tahun pertama dan dikurangkan kepada 40% pada tahun ke-6 dan seterusnya.

Selain itu keutamaan diberikan dalam jualan gas asli dan hasil sampingan. Berdasarkan PwC juga TPPA dapat memberi peluang-peluang bagi vendor-vendor di bawah program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) boleh distrukturkan semula agar kekal efektif dan tercapai objektif.
BVDP adalah satu inisiatif program transformasi syarikat milik kerajaan (GLCTP) yang menyediakan peluang perniagaan khususnya kepada syarikat-syarikat bumiputera.

Perusahaan Industri Kecil sama ada mikro mahupun sederhana akan turut menerima faedah yang baik. Pihak kerajaan sedar akan persaingan yang wujud, atas kesedaran ini, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam memastikan agar syarikat-syarikat kecil dan sederhana ini dapat bersaing dengan adil terutamanya kerisauan terhadap syarikat-syarikat gergasi dari luar negara.
Atas kesedaran ini, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan melakukan usaha-usaha dalam memastikan unjuran dan keupayaan industri IKS untuk terus berkembang serta berada pada landasan yang betul.
TERAJU berupaya untuk bantu syarikat bumiputera dengan memberi penekanan bagi meningkatkan eksport dan kerjasama luar syarikat-syarikat bumiputera agar setiap peluang yang ada dapat dimanfaatkan. TERAJU juga telah menjalankan kajian analisis kos faedah sejak 2 tahun lalu yang melibatkan syarikat bumiputera dan perindustrian kecil sederhana.
Secara dasarnya kesan TPPA adalah tidak begitu ketara kerana syarikat bumiputera masih tiada kapasiti. Berdasarkan kajian analisis yang dibuat oleh TERAJU, sekiranya sertai TPPA, KDNK Malaysia diunjur naik antara RM 452.02b hingga RM 891.37b pada tahun  2018 – 2027. Kenaikan tinggi dalam KDNK disebabkan 90% keuntungan didorong oleh penurunan langkah bukan tarif dalam TPPA.
Laporan Bank Dunia menjangkakan Malaysia dan Vietnam akan mendapat manfaat yang paling besar daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini. Manakala, negara-negara Asia yang tidak menyertai perjanjian tersebut akan ketinggalana daripada aliran perdagangan dan mencatat pertumbuhan yang perlahan.

Menurut laporan ISIS, Penyertaan Malaysia ke dalam TPPA adalah konsisten dengan Dasar Ekonomi Baru Malaysia dan juga selaras cita-cita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Kita akan dikenakan tarif yang lebih rendah di dalam empat pasaran baru  iaitu Amerika Syarikat (90%), Kanada (95%), Mexico (77%) dan Peru (81%) daripada semua kadar tarif. Oleh itu, pengeksport Malaysia akan menerima kelebihan untuk bersaing di dalam pasaran berbanding dengan pesaing-pesaing yang tidak menyertai TPPA.

Tanpa penglibatan dalam TPPA, akses pasaran dalam kalangan firma Malaysia dengan Negara terlibat adalah terhad terutamanya berkaitan langkah bukan tarif. Ini sekaligus berpotensi mengurangkan tahap daya saing bagi sektor elektrik dan elektronik serta tekstil.
Di samping itu, perlindungan perniagaan bumiputera, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan SOE akan jadi sia-sia. Jika kita tidak menyertai TPPA,  nilai pelaburan akan berkurangan kepada RM54.3b.
Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya khuatir dengan ramalan-ramalan keburukan TPPA yang kita belum tahu kesahihannya. Kita seharusnya bimbang, sekiranya kita tidak menyertai TPPA, aspek pencapaian ekonomi kita mungkin ketinggalan berbanding dengan negara serantau seperti Vietnam dan Singapura.

Penyertaan dalam TPPA diharap dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perdagangan yang lebih menarik. Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk meneroka pasaran di negara-negara TPP.
Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa, adalah tidak adil jika kita melihat perjanjian ini hanya dari perspektif negatif sahaja sedangkan terdapat banyak faedah yang menguntungkan negara-negara perjanjian termasuk negara kita sendiri khususnya.

Bantahan terhadap TPPA kerana bimbangkan kita bakal disaman hanya akan melemahkan lagi daya saing Malaysia dan sekaligus melepaskan peluang kepada bakal-bakal usahawan yang kini giat berusaha untuk melebarkan sayap perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.