Patriotisme Ekonomi Melayu

PASCA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), isu ketidakseimbangan ekonomi kembali menjadi perhatian khususnya untuk orang Melayu dan bumiputera yang ketinggalan walaupun mewakili kaum majoriti dan kuasa membeli terbesar.

Usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membentuk Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai badan pelaksana dilihat berjaya meningkatkan sokongan kumpulan majoriti ini kepada UMNO dan parti pribumi di Sabah dan Sarawak.

Namun, sampai masanya orang Melayu mengambil iktibar implikasi kuasa ekonomi ke atas aspek lain dalam kehidupan, serta mencontohi semangat orang bukan Melayu mengutamakan produk dan perniagaan bangsa sendiri sebagai satu keperluan wajib dalam memperjuangkan ekonomi bumiputera.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik meluahkan kebimbangan bagaimana orang bukan Melayu khususnya kaum Tionghua menggunakan kekuatan ekonomi mereka untuk melancarkan gerakan politik menyokong DAP menukar kerajaan pada PRU13.

“Kita melihat usaha menggunakan kuasa ekonomi untuk capai kuasa politik ini satu ancaman yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Selagi ada jurang ekonomi (besar) antara Melayu dan bukan Melayu, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Melihatkan ekonomi Melayu selepas PRU13 semakin genting, usaha memperkasakan pencapaian ekonomi Melayu bumiputera perlu dipercepatkan untuk keseimbangan lebih stabil dengan kekuatan ekonomi bukan Melayu,” tegasnya.

Tambahnya, melihatkan cabaran selepas PRU13, Gabem berpendapat satu konvensyen ekonomi Melayu melibatkan penyertaan badan ekonomi, agensi-agensi, syarikat milik kerajaan (GLC) serta kerajaan negeri perlu diadakan bagi menggabung tenaga dalam satu pasukan.

Menurutnya lagi, Gabem mahu melihat kerajaan yang dipilih benar-benar komited dari segi perancangan memajukan syarikat bumiputera walaupun polarisasi kaum seolah-olah sudah menjadi realiti dalam politik negara ini.

“Dengan keadaan masyarakat Tionghua tidak sertai kerajaan dan sokong pembangkang, kerajaan pula didokong Melayu bumiputera dan orang India, kita perlu lakar strategi sesuai dan program bermakna yang mampu ketepikan imbasan negatif polarisasi kaum ini.

“Kerajaan telah sediakan senarai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), Gabem sebagai rakan strategik Teraju pula akan menggerakkan rancangan Syarikat Berwibawa Negeri (SBN), kempen 1Keluarga 1Syarikat (1K1S) dan banyak lagi program lain,” katanya.

Menurut beliau, Gabem mengambil langkah tersebut demi melihat usaha memperkasakan pencapaian ekonomi bumiputera dapat dicapai dengan lebih berkesan, dalam tempoh masa lebih pendek daripada yang dirancang sebelum ini.

Beliau menjelaskan, konsep SBN sama dengan syarikat Teras tetapi lebih kepada syarikat sederhana dan lebih kecil di peringkat negeri-negeri yang mempunyai rekod baik, berpengalaman dan potensi untuk berkembang.

“Kita letakkan syarikat-syarikat SBN di bawah satu bumbung dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi-agensi peringkat negeri dan pusat termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, SME corp dan lain-lain.

“Seperti syarikat Teras di peringkat nasional, SBN bakal menjadi peneraju pembangunan di negeri-negeri. Oleh itu, kita minta jasa baik Menteri Besar dan Ketua Menteri mendokong usaha ini dan menjadikan SBN ikon kebanggaan negeri mereka,” ujarnya.

Abdul Rahim menegaskan semua pihak perlu bekerjasama dan membuang rasa sombong, angkuh serta sifat ‘enau dalam belukar’ khususnya di kalangan badan-badan ekonomi Melayu dan duduk dalam satu forum muzakarah, bersatu bagi menentukan nasib anak bangsa kelak.

Kempen 1K1S pula katanya, merupakan satu usaha revolusi Gabem untuk cuba membetulkan persepsi dan pandangan masyarakat Melayu dalam dunia perniagaan, terutama sekali dalam mewujudkan syarikat pegangan keluarga.

“Melalui kempen ini, kita akan dedahkan budaya perusahaan kepada keluarga yang sesuai dan layak. Harta dan hartanah orang Melayu yang biasanya disimpan dalam bentuk geran hak milik akan ditransformasi menjadi saham dengan nilai sebenar harta dalam syarikat keluarga itu.

“Dengan kapitalisasi ini, harta peserta (suami, isteri dan keluarga) yang dahulunya tidak dipedulikan nilainya akan diterjemah sebagai saham dan mendapat faedah, di samping menambah ekuiti nasional bangsa,” jelasnya.

Tambahnya, langkah itu penting memandangkan Melayu bumiputera yang mewakili 67 peratus rakyat hanya mempunyai sekitar 24 peratus ekuiti nasional sedangkan orang Cina mampu mencapai lebih 50 peratus pegangan.

Beliau juga yakin kaedah tersebut mampu mengatasi masalah tanah terbiar akibat perebutan harta faraid keluarga Melayu selepas ibu bapa meninggal dunia.

“Dalam bentuk geran hak milik, harta dan hartanah orang Melayu sukar dibahagikan terutamanya jika sudah beranak pinak. Jika diheret ke mahkamah, harta itu akan tergantung dan terbiar, jika dapat pun hanya bahagian kecil setiap seorang.

“Cara lama itu hanya akan mengekalkan kemiskinan orang Melayu. 1K1S dalam bentuk saham pula tetap mengikut hukum faraid dengan pembahagian saham kepada waris tanpa menjejaskan harta atau hartanah secara fizikal mahupun undang-undang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, 1K1S juga akan mendedahkan pengetahuan tentang aspek pengurusan dan operasi terperinci syarikat kepada peserta termasuk penyata kewangan, untung rugi dan lain-lain, seterusnya memberi kesedaran tentang implikasi keluar masuk wang.

Beliau yakin kesedaran itu juga akan membuka minda peserta terhadap cara pemikiran ‘moneytization’ lebih tinggi yang menjadi asas membina usahawan Melayu yang berjaya.
“Lebih penting daripada semua itu, Gabem akan cuba tembusi minda pengguna Melayu bumiputera iaitu kumpulan yang memegang kuasa membeli terbesar. Kuasa membeli ini sebenarnya landasan dan kekuatan untuk kita tingkatkan kemampuan syarikat-syarikat bumiputera.

“Anggap ini sebagai fardu kifayah, membantu dengan berbelanja dan menjadi tiang seri untuk syarikat Melayu bumiputera berdiri dalam pasaran terbuka kini. Orang Cina ramai pengeluar (peniaga), tapi kita lebih ramai pengguna,” katanya.

Abdul Rahim juga mahu meningkatkan rasa cinta pengguna Melayu terhadap produk dan syarikat bumiputera agar semangat patriotisme ekonomi bangsa itu dapat disemat di hati pengguna Melayu di seluruh negara.

“Tiada syarikat yang boleh maju tanpa sokongan secukupnya daripada pembeli (pengguna). Kita juga bukan meminta 100 peratus kuasa membeli Melayu itu dipindahkan kepada produk dan syarikat Melayu.

“Cukuplah pada kadar munasabah untuk membantu syarikat Melayu bumiputera bersaing dengan syarikat lain di pasaran terbuka Malaysia,” tegasnya.