PAS Gesa Penduduk Lawan Pemaju, Pertahan Tanah

Hazayani Zakaria,      15 Jan 2012

PAS Gesa

KUALA LUMPUR, 15 Jan: PAS menyeru peniaga-peniaga di Setapak Permai terus mempertahankan tanah mereka daripada dirampas pihak pemaju yang ingin mengaut Keuntungan.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, tindakan pemaju itu akan memangsakan penduduk Melayu dan 70 peniaga bumiputera yang membuka bengkel di sana sejak 1995.

“Saya rasa sangat dukacita dengan tindakan pemaju yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan notis untuk ambil tanah itu.

“Lajnah Tanah PAS menyeru penduduk mempertahankan kawasan itu,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli-ahli Persatuan Peniaga Putra Damai semalam yang mengadakan demonstrasi membantah notis mengosongkan tanah mereka.

Peguam pemaju mengeluarkan notis mengarahkan mereka mengosongkan tanah sebelum 30 Januari ini.

Mazlan turut mempersoal tindakan Menteri kerajaan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang enggan memberikan hak milik kepada penduduk sebaliknya memberikan hak milik kepada Syarikat 59 INC Sdn Bhd.

“Sebelum ini penduduk dah banyak kali pohon hak milik, jumapa dengan Zul Hasnan, Raja Nong Chik tapi tidak diberikan kerajaan atas alasan itu tanah lombong. Tapi bila pemaju mohon, dapat pulak.

“Satu lagi kawasan Melayu akan hilang di KL ini.

“Pemaju jangan bersekongkol dengan orang politik,” katanya.

Tambahnya, lebih menyedihkan, Surau Al-Jabbar yang menjadi nadi aktiviti agama di situ juga akan dirobohkan.

“Umno kata tradisi mereka membela Melayu, tetapi hari ini kita lihat kawasan Melayu akan tergadai.

“Slogan bela melayu hanya hipokrasi oleh Umno,” katanya.

Demonstrasi di perkarangan Surau Al-Jabbar semalam diketuai Presiden Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Melayu, Datuk Bahrim A. Razak.

Menurutnya, siri perjumpaan dengan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditetapkan pada 23 dan 27 Disember lalu dibatalkan.

Namun permasalahan yang dihadapi tidak mendapat pembelaan.