Optimis Bidang Perhubungan Awam

MOHD SAID BANI CEKAL BANGUNKAN BZBEE
Kerjaya Mohd Said Bani bermula sebagai peguamcara di sebuah firma di London. Sekembalinya ke Malaysia, beliau dilantik sebagai konsultan di firma audit terkemuka, bahagian korporat dan perundangan. Beliau juga menyertai Kementerian Luar Negeri sebagai pegawai tadbir diplomatic, di mana terlibat dengan isu-isu perundangan antarabangsa.

Beberapa tahun kemudiannya, beliau ditawarkan oleh syarikat swasta terkemuka sebagai penasihat perundangan dan turut terlibat dalam menubuhkan stesen televisyen swasta kedua. Selang beberapa tahun, beliau ditawarkan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka yang juga beroperasi di beberapa negara.

“Dalam dunia korporat, apabila kebolehan kita diiktiraf, skop kerja yang dipertanggungjawabkan juga berkembang,” katanya.

Di situlah bermulanya pengalamannya di dalam bidang komunikasi, apabila bidang kerja beliau diperkembangkan dari perundangan kepada sumber manusia dan komunikasi korporat.

Namun, beliau ambil keputusan meletak jawatan dari sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka pada tahun 2004, untuk menceburi bidang perundingan.

Selama setahun beliau pilih untuk tidak bekerja sepenuh masa dan melibatkan diri dengan beri perkhidmatan perundingan kepada usahawan baharu.

“Saya berpeluang bantu ramai usahawan dengan menyediakan kontrak serta khidmat rundingan korporat, komunikasi dan perundangan, termasuk pendaftaran perniagaan,” katanya.

Kesemuanya dilakukan dari rumah dan beliau amat teruja dengan permintaan tinggi terutamanya dalam kalangan usahawan Bumiputera.

DIBERI KEPERCAYAAN SYARIKAT BELANDA
Mohd Said Bani ditawarkan sebuah syarikat dari Belanda untuk penubuhan perniagaan yang memperkenalkan rancangan permainan interaktif pertama di Malaysia, melalui kesemua stesen televisyen pada 2005.

Katanya, perniagaan tersebut berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia, Filipina, India, Thailand dan Singapura.

Selepas itu, beliau sahut cabaran baharu menubuhkan agensi perundingan perhubungan awam, oleh seorang ahli perniagaan terkemuka.

“Cabaran dihadapi sebagai perunding perhubungan awam berbeza daripada mengetuai bahagian perhubungan awam dalaman sesebuah syarikat. Saya berpeluang selesaikan isu, krisis dan persepsi yang melanda pelanggan , memperkukuhkan hubungan media serta melatih konsultan lain menangani pelbagai aspek komunikasi,” katanya yang merupakan graduan Perundangan dari University of Sheffield, United Kingdom.

Beliau tidak menyangka pencaturannya menjadi seorang usahawan dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam menjadikan dirinya seorang Bumiputera yang berpengaruh dalam bidang yang di dominasi wanita dan kebanyakannya syarikat asing atau bukan Bumiputera.

TITIK PERMULAAAN BZBEE CONSULT
Pada pertengahan 2010, majikannya menawarkannya ambil alih syarikat dan beliau bersetuju, namun ambil keputusan menubuhkan syarikat baharu dengan jenama sendiri iaitu bzBee Consult Sdn Bhd (bzBee). Namun jenama baharu ini mengundang beberapa cabaran tersendiri.

“bzBee memulakan operasi dan menumpang di pejabat lama selama tiga bulan dan terpaksa berpindah di pejabat baharu di Subang Jaya pada awal 2011. Dengan modal RM250,000 untuk gaji dan kos operasi selama beberapa bulan, kami terpaksa mencari pelanggan baharu,” katanya.

Tambahnya pada masa itu, bzBee tidak mempunyai pelanggan dan ambil keputusan tawarkan perkhidmatan rundingan korporat dan perundangan kecil-kecilan kepada usahawan.

 

BUAT UCAPAN PERDANA MENTERI
Sebagai seorang ketua, beliau terpaksa fikirkan ‘periuk nasi’ pekerjanya.Tekanan dirasai lebih hebat kerana pada mulanya, bzBee tidak mempunyai pelanggan.

“Saya mempunyai perancangan yang rapi sebelum menubuhkan bzBee iaitu sekurang-kurangya miliki sumber kewangan kukuh dalam tempoh lapan bulan pertama syarikat beroperasi.Dalam masa sama, saya juga teruskan kerja-kerja sebagai penasihat undang-undang untuk cari dana,”katanya.

“Saat tidak boleh dilupakan dalam sejarah bzBee apabila nama Mohd Said Bani disyorkan untuk menulis ucaptama perdana menteri pada Januari 2011, untuk melancarkan Agenda Bumiputera. Pada awalnya saya menolak permintaan tersebut kerana akan ke Jakarta, tapi akhirnya saya menerimanya.

“Sekembali saya ke Malaysia, saya dijemput untuk sediakan kertas cadangan untuk membekalkan perkhidmatan perundingan kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera.

“Alhamdullilah, setelah melalui proses ditetapkan, bzBee dilantik sebagai konsultan perhubungan awam agensi itu. Sejak itu, saya mula dapat kepercayaan untuk beri perkhidmatan kepada pelbagai agensi kerajaan, kementerian dan syarikat swasta dari dalam dan luar negara,”katanya.

Kini, bzBee terus berkembang dan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 40 pekerja. Ia juga membuka peluang kepada vendor Bumiputera dalam pelbagai bidang. Pada 2017, bzBee membeli pejabat sendiri dan berpindah ke Kelana Jaya, Selangor.

 

ANUGERAH YANG DITERIMA BZBEE

  • Diiktiraf sebagai syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi pada 2013.
  • Penarafan 4 bintang dari SME Corporation.
  • Mendapat penganugerahan Industri Perhubungan Awam dalam kategori Hal Ehwal Awam pada 2015.
  • Dianugerahkan dalam dua kategori, iaitu Pengurusan Isu dan Krisis serta ‘Promosi Farmaseutikal Halal’ pada 2016.
  • Memenangi anugerah tiga kategori ‘Pengurusan Isu dan Krisis’ , ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ dan ‘Pemuliharaan Alam Sekitar’ pada tahun 2018.
  • Mendapat penganugerahan ‘Selangor Business Awards’ kategori ‘Masterclass Bumiputera CEO of The Year 2017’ dan Public Relations Agency of The Year 2017’.