MTDC Jalin Perkongsian Dengan Fathima Group Untuk Teroka Pasaran Timur Tengah

yahoo

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) — Malaysian Technology Development Corp Sdn

Bhd (MTDC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Fathima Group of Companies sebagai pengantara bagi syarikat penerima dananya untuk meneroka potensi pasaran di Timur Tengah.

MoU itu ditandatangani melalui anak syarikat MTDC, Malaysian Technology

Consultants Sdn Bhd (MTC).

MTDC berkata kedua-dua MTC dan Fathima Group akan meneroka peluang-peluang pasaran di Malaysia dan di Timur Tengah, mengadakan perkongsian strategik, berkongsi pengetahuan dan pengalaman melalui kegiatan bina upaya serta membangunkan dan menganjurkan program-program keusahawanan.

Kedua-dua pihak akan juga berkongsi buah fikiran dan maklumat ke arah pembangunan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam program-program yang diadakan oleh kedua-dua pihak, selaras dengan MoU itu.

Pada peringkat awal, MTC akan memperkenalkan empat syarikat penerima dana

MTDC, dengan operasi perniagaan masing-masing untuk memulakan perbincangan awal dengan Fathima Group, kata MTDC dalam satu kenyataan.

Fathima Group mempunyai pasar raya, pasar raya besar, dan gedung-gedung

serbaneka di bawah jenama yang dikenali sebagai “Fathima” — satu daripada

rantaian pasar raya terbesar di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan 40 cawangan

termasuk di Oman, Qatar dan Arab Saudi.

Operasi perniagaannya yang lain termasuklah penyajian (katering),

penyimpanan sejuk, bakeri dan penjualan minyak wangi.

— BERNAMA

SRH SRH TOM KY