Menggilap Usahawan Teknologi

on9

macha

Mukadimah

Ketika merasmikan Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat di Kuala Lumpur Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).

Tujuannya adalah untuk melahirkan ramai usahawan tempatan yang akhirnya berjaya menghasilkan jenama-jenama bertaraf antarabangsa seperti Facebook, Apple mahupun Samsung, jenama terkenal Korea Selatan.

 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, TAN SRI DR. MOHD IRWAN SERIGAR ABDULLAH ketika berkongsi pandangannya mengenai MaGIC bersama wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD, HAFIZAHRIL HAMID dan jurufoto, MOHD. NAJIB MOHD. NOR di Putrajaya baru-baru ini berkata, melalui MaGIC kerajaan mahu melihat individu-individu kreatif seperti Mark Zuckerberg serta Steve Jobs dilahirkan di negara ini.

Sekali gus membantu Malaysia mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi. Dengan peruntukan sebanyak RM50 juta MaGIC yang beribu pejabat di Cyberjaya dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei ini.

MINGGUAN: Bagaimana tercetusnya idea untuk mewujudkan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC)?

  1. MOHD IRWAN: Banyak institusi yang terdapat di negara ini tetapi institusi-institusi tersebut hanya bersifat sector based contohnya kita ada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam bidang komunikasi teknologi maklumat (ICT), biotech dalam Biotech Corporation, kita ada juga SME Corp. yang memberi bantuan memajukan syarikat bersifat kecil dan sederhana tetapi dari segi syarikat-syarikat permulaan (start up company), bagaimana idea-idea penubuhannya boleh kita komersialkan.

Jadi, dalam perkara ini kekurangan berlaku. Sebenarnya idea itu timbul apabila kita anjurkan Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat di Kuala Lumpur pada 11 Oktober tahun lepas yang mana pelancarannya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam ucapannya, beliau telah mengumumkan penubuhan MaGIC ini. Ekoran daripada pengumuman tersebut sebelum pembentangan Bajet 2014, kita bincang secara terperinci dengan Perdana Menteri untuk kita merealisasikan penubuhannya. Kita mahu MaGIC menjadi pusat sehenti kepada usahawan-usahawan dengan meletakkan semua perkara berkaitan dengan latihan, bimbingan dan pembiayaan di bawah satu bumbung iaitu MaGIC atau dikenali sebagai Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia.

 

 

Saya juga memanggil beberapa agensi yang sepatutnya memainkan peranan dalam memajukan MaGIC antaranya Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Biotech, MDeC, Malaysia Venture Capital Management (Mavcap), SME Bank dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Kita bermesyuarat dengan matlamat untuk mendokong hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi serta negara yang sentiasa mendokong kreativiti dan inovasi.

Inilah faktor utama MaGIC ditubuhkan dan saya pohon kepada Perdana Menteri mendapatkan suntikan dana dan Perdana Menteri setuju untuk memberi dana permulaan sebanyak RM50 juta.

Beberapa kali juga dalam mesyuarat Majlis Ekonomi dan mesyuarat-mesyuarat lain, saya memberitahu Perdana Menteri, jika kita mahu menjadi negara maju memang senang dan kita sekarang pun telah menjadi negara maju tetapi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi ini satu masalah besar. Walaupun dari segi purata pendapatan perkapita AS$15,000 (RM48,000) boleh dicapai namun bukan semua rakyat mempunyai pendapatan AS$15,000. Sekiranya kita semak di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebih 60 peratus mereka yang mencarum masih lagi berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Kebanyakannya makan gaji sama ada di sektor swasta atau kerajaan yang gaji rata-ratanya di peringkat rendah.

Di Malaysia, sekiranya lulusan universiti yang bekerja sebagai akauntan atau peguam, gaji permulaan mereka memang rendah iaitu bawah daripada RM3,000. Sekiranya meningkat sekalipun ia berlaku secara perlahan-lahan mungkin gaji mereka bertambah kepada RM4,000. Angka ini masih rendah daripada negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand. Sebab itu ramai profesional di Malaysia bekerja di Singapura atau berhijrah ke Timur Tengah antaranya di Dubai. Oleh itu satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah melalui bidang keusahawanan. Kita perlu melahirkan usahawan yang mempunyai daya kreativiti, inovasi serta mampu mencipta produknya sendiri. Dengan cara ini kita mampu meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia. Para usahawan ini kemudian boleh menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang lain dengan memberi gaji yang lebih tinggi.

 

Sebab itu kita tubuhkan MaGIC. Di MaGIC ini kita bukan sahaja mengumpul usahawan-usahawan untuk diberikan bimbingan, kemudahan pembiayaan tetapi juga untuk membentuk serta membangunkan produk mereka sendiri.

Apabila pergi ke Amerika Syarikat (AS) saya mengadakan perbincangan dengan Universiti Stanford, tujuannya untuk menjalinkan kerjasama bagi membantu usahawan-usahawan kita merekabentuk produk-produk mereka.

Apakah kriteria-kriteria usahawan yang diperlukan dan apakah sasaran kerajaan melalui penubuhan MaGIC ini?

  1. MOHD IRWAN: Dalam usaha kita mencari usahawan-usahawan ini kita juga melancarkan pangkalan data program Usahawan 1Malaysia (1Met) pada tahun lepas. Sehubungan itu pada 9 Februari lalu kita telah memulakan usaha mengenal pasti lebih ramai usahawan. Program ini bermula di Tawau dan berakhir pada 19 April lalu. Kita mahu kumpulkan 7,000 usahawan muda dan daripada jumlah ini kita akan membuat penapisan melalui pelbagai ujian. Tujuannya kita mahu menilai sama ada seseorang itu benar-benar mempunyai keinginan untuk menjadi usahawan atau sebaliknya. Separuh orang hanya pandai bercakap sahaja tetapi tidak ada apa-apa pun. Namun begitu perlu kita akui terdapat juga sesetengah orang yang mempunyai idea untuk menghasilkan produk mereka sendiri. Mereka yang seperti inilah yang akan kita bawa ke tahap kedua di mana kita akan beri latihan dalam tempoh tiga minggu. Mereka akan dilatih oleh sekumpulan pakar. Sekiranya dalam tempoh tiga minggu itu mereka berjaya menunjukkan hasil produk serta minat yang mendalam, kita akan membawa mereka ke peringkat seterusnya.

MaGIC ini bukan sahaja untuk usahawan teknologi tetapi juga untuk mereka yang tidak berlandaskan teknologi. Usahawan yang bukan berlatar belakang teknologi boleh menggunakan jaringan-jaringan perniagaan yang terdapat di MaGIC. Atas dasar itu MaGIC sentiasa menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain antaranya Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). Mereka akan ada link dengan MaGIC.

 

Sebagai contoh sekiranya seorang usahawan mahu membuka kilang, dia akan diberikan bimbingan serta latihan lanjutan oleh entiti-entiti kerajaan yang ada hubungan dengan MaGIC.

Di Malaysia terdapat banyak agensi yang ditubuhkan untuk membantu para usahawan termasuk usahawan bumiputera. Tidakkah penubuhan MaGIC ini akan menjadi menyebab berlakunya pertindihan?

  1. MOHD IRWAN: Perdana Menteri juga yang cetuskan program Superb. Ini satu program khas untuk usahawan bumiputera yang mana kita cari idea dan terus beri peruntukan dan bimbingan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) tetapi di MaGIC lebih besar. MaGIC mempunyai jalinan kerjasama dengan pemain-pemain di peringkat global. Kita jalin kerjasama dengan pihak-pihak di Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS) seperti Stanford University dan dalam jangka masa panjang kita juga akan mengadakan kerjasama dengan beberapa institusi di Singapura serta Thailand. Kita mahu menjadikan MaGIC ini mempunyai hubungan di peringkat serantau dan global.

Saya juga berharap pada satu hari nanti MaGIC ini akan menghasilkan pencipta-pencipta setaraf dengan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg atau pengasas Apple, Steve Jobs dan itulah taraf yang hendak kita hasilkan satu hari nanti. Sama juga dengan jenama Samsung di Korea Selatan. Inilah masa hadapan kita. Kita mempunyai potensi yang cukup besar. Untuk pengetahuan, ketika berada di Lembah Silikon saya menemui rakyat Malaysia. Mereka ini mempunyai idea dan kemudian idea mereka dibeli oleh syarikat-syarikat besar. Mereka ini tidak menonjol sebab idea mereka telah pun diambil oleh orang lain.

Namun di MaGIC adalah di sebaliknya. Kita memberi ruang untuk mereka mencetuskan idea. Sebagai contoh kita ambil kejayaan syarikat Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. di Cyberjaya. Syarikat ini menghasilkan filem animasi Upin dan Ipin. Syarikat ini berjaya mengeluarkan satu produk yang ‘hit’ bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke Indonesia. Oleh itu untuk masa hadapan, kita mahu melahirkan syarikat-syarikat seperti Les’ Copaque bukan sahaja terkenal di peringkat serantau tetapi menjangkau hingga ke peringkat dunia iaitu hingga ke peringkat Hollywood. Malaysia mahu menghasilkan lebih banyak usahawan dalam bidang kreativiti dan inovasi dan seterusnya setaraf dengan negara lain, dengan sendirinya akan meningkatkan pendapatan negara serta individu terbabit.

 

Adakah fokus MaGIC hanya tertumpu kepada usaha membangunkan usahawan-usahawan tempatan dalam bidang teknologi dan kreatif berbanding yang bukan berasaskan teknologi. Boleh Tan Sri jelaskan?

  1. MOHD IRWAN: Fokus kita sama. Yang bukan teknologi pun boleh datang ke MaGIC dan mereka akan kita perkenalkan kepada agensi-agensi jaringan dengan MaGIC. Kita tidak mahu berlakunya pertindihan. Kita juga tidak mahu berfungsi seperti PUNB. Katakanlah seorang itu mahu membuka kedai dobi secara francais. Di MaGIC kita akan memberikan usahawan ini latihan termasuk menyediakan cadangan kertas kerja selain membantu mereka mendapatkan pembiayaan. Di PUNB pula mereka akan diberi maklumat francais dobi yang hendak dibuka. Contoh lain katakanlah seorang itu mahu membuka kedai foto. Dia boleh pergi ke PUNB dan PUNB pula boleh beri panduan bagaimana dia boleh menjadi francaisi. Di MaGIC mereka akan mendapat latihan lebih menyeluruh. Ramai usahawan, mereka ada idea tetapi tidak mempunyai kertas cadangan perniagaan yang bagus. Di MaGIC ini kita akan membawa pakar-pakar melatih mereka bagaimana hendak menyediakan kertas cadangan tersebut. Tanpa kertas cadangan bank tidak akan memberi pembiayaan.

Ini bermaksud MaGIC berhasrat melahirkan jenama-jenama Malaysia bertaraf global. Komen Tan Sri?

  1. MOHD IRWAN: Ya, itu hasrat saya. Saya mahu melihat banyak jenama yang dihasilkan di Malaysia akhirnya menjadi terkenal di peringkat dunia dan fokus saya adalah kepada usahawan yang berumur 40 tahun ke bawah kerana mereka ini mempunyai idea yang dinamik terutama lepasan universiti atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Inilah kumpulan usahawan yang kita sasarkan. Seperkara lagi, jika mereka tidak berjaya dalam pelajaran maka kita sepatutnya memberi peluang kepada golongan ini untuk menjadi usahawan. Sebagai contoh mereka mahu membuka sebuah bengkel kereta, MaGIC akan menghantar mereka menjalani latihan di pusat-pusat latihan seperti di IKBN atau kolej Mara. Untuk membuka sebuah perniagaan pula MaGIC yang akan memberi latihan dari segi menyediakan kertas cadangan dan membantu mendapatkan pembiayaan.

 

 

Ini bermakna MaGIC bukan sahaja memberi tumpuan kepada usahawan dalam bidang teknologi sahaja malah tumpuan yang sama kita berikan kepada usahawan yang bukan dalam bidang teknologi. Sebab itu dalam misi penjelajahan kita di seluruh negara bagi mengenal pasti bakal usahawan berpotensi melalui program 1Met, kita juga mendaftar jenis perniagaan yang mereka minati. Katakanlah mereka berminat membuka sebuah restoran dan kita mahu memastikan jenis restoran yang mahu dibuka, adakah mereka ini mempunyai kepakaran dalam perniagaan makanan selain mahir dalam mengendalikan sebuah restoran. MaGIC sedia memberi latihan.

Boleh Tan Sri perincikan pembabitan pakar dari luar negara seperti Stanford University dalam MaGIC dan bagaimana pula dalam soal hak cipta harta intelek terutama rekaan-rekaan yang dihasilkan oleh para usahawan kita?

  1. MOHD IRWAN: Di MaGIC kita turut menempatkan MyIPO yang mana agensi ini mempunyai pejabat di bangunan MaGIC. Oleh itu setiap ciptaan yang mempunyai nilai komersial kita akan nasihatkan usahawan kita untuk mempatenkannya supaya idea mereka tidak ditiru oleh mana-mana pihak yang lain.

Mengenai kerjasama dengan Stanford University dan Up Global serta institusi-institusi lain kita mahukan kepakaran daripada mereka melalui satu bentuk perjanjian dalam tempoh dua tahun. Pakar-pakar akan datang melatih pakar-pakar kita serta melatih usahawan-usahawan kita dan MaGIC juga akan menghantar usahawan kita untuk ditempatkan di Stanford University selama tempoh tiga bulan. Ini yang sedang kita usahakan melalui jalinan kerjasama tersebut. Diharap kita dapat memeterai perjanjian dengan Stanford University dan Up Global memandangkan kedua-dua organisasi ini merupakan peraju dalam syarikat-syarikat permulaan (start up company) di dunia.

Up Global merupakan satu entiti yang diwujudkan oleh White House sendiri di Amerika Syarikat dan pihak Up Global telah bersetuju dan perjanjian antara kita dengan mereka juga dalam proses penelitian terakhir. Dengan Stanford University pula kita dalam proses perbincangan tetapi memorandum persefahaman (MoU) telah pun ditandatangani dengan universiti berkenaan.

 

Dalam proses kita mencari 7,000 usahawan, adakah keutamaan hanya diberikan kepada mereka yang lepasan universiti sahaja?

  1. MOHD IRWAN: Tidak, 7,000 usahawan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Yang telah berniaga pun ada. Mereka masih berminat untuk menyertai latihan. Sesetengah daripada itu juga adalah dalam kalangan usahawan berjaya. Di Tawau ada seorang pemohon MaGIC merupakan seorang pembekal gas bagi syarikat Petronas. Usahawan ini telah menjadi jutawan tetapi dia masih tetap mahu menyertai program ini. Kita menerima permohonannya. Mungkin dia mahu perkembangkan lagi perniagaannya supaya menjadi lebih besar.

Satu perkara yang mahu saya tekankan di sini ialah tentang pembiayaan. Ini merupakan perkara penting kerana jika seseorang itu mahu menjadi usahawan, kebiasaannya mereka agak susah untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi-institusi perbankan.