MDeC Lancar Kempen #YOUCANDUIT

ber

KUCHING, 12 Mac (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) hari ini melancarkan kempen #YOUCANDUIT peringkat kebangsaan, bagi menggesa rakyat Malaysia supaya mula menjana pendapatan secara dalam talian menerusi platform digital.

Kempen itu dilancarkan sewaktu program MINDA (Malaysia Inklusif Negara Digital) di Tebingan Sungai Kuching di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood berkata #YOUCANDUIT dapat meningkatkan kehidupan kumpulan B40 (kumpulan pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000) dan bakal usahawan digital dalam kalangan pelajar Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta usahawan mikro.

“Dalam zaman ekonomi digital ini, terdapat banyak peluang mendapatkan kewangan menerusi dalam talian dan kami telah berusaha keras untuk membuka laluan ke arah kejayaan untuk rakyat.

“Menerusi kempen ini, MDeC mahu mendekati kumpulan B40, pelajar TVET serta usahawan mikro dan kami mahu mereka terbabit dengan usaha dalam talian dan mengambil peluang yang ada kerana #YOUCANDUIT,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut melawat gerai MDeC dan memuji pencapaian cemerlang pelajar e-Usahawan TVET di Sarawak serta program e-Rezeki di negeri ini.

Najib turut menyampaikan kunci kepada pengendali pusat e-Rezeki pertama di Sarawak bertempat di Kota Samarahan yang akan membimbing kumpulan B40 menjadi pekerja digital.

Selain pusat e-Rezeki, Sarawak turut mempunyai tiga wakil e-Rezeki, masing-masing di Kolej Komuniti Kuching, Miri dan Mas Gading.

— BERNAMA