Malaysia Tanding Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO Penggal 2015-2019 2013/11/10 – 10:49:15 AM PARIS: Malaysia akan bertanding untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk penggal 2015-2019. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini berikutan keputusan jemaah menteri pada 25 Oktober lalu yang bersetuju dengan cadangan dikemukakan Kementerian Pendidikan untuk bertanding bagi kerusi lembaga eksekutif itu buat kali keenam. “Sejak kita menjadi anggota UNESCO pada Jun 1958, kita menduduki kerusi lembaga ini sebanyak lima kali, (iaitu) tahun 1978 hingga 1983, 1987-1991, 1993-1997, 1999-2003 dan akhir sekali 2007 hingga 2011. “Waktu kita menjadi anggota, kita terbabit secara aktif untuk menggubal dasar dan mengkaji keberkesanan program-program serta aktiviti Unesco ini terutamanya dalam bidang pendidikan, sains, kebudayaan, sains sosial, komunikasi dan informasi,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini. Beliau berkata ia juga menjadi platform terbaik untuk Malaysia berkongsi pendapat dan amalan terbaik dengan lain-lain anggota UNESCO, di samping memastikan kepentingan dan pendirian Malaysia dapat didengari di peringkat antarabangsa. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata jawatankuasa kecil tetap Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) yang dipengerusikannya mengatur beberapa strategi untuk mendapatkan sokongan negara-negara anggota UNESCO. “Antaranya ialah melalui penganjuran persidangan di peringkat antarabangsa dengan kerjasama Unesco seperti Persidangan Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang akan berlangsung di Kuala Lumpur nanti. “Langkah lain yang diatur termasuk menerusi kempen bersama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di mana kita akan adakan pameran serta persembahan,” katanya. Selain itu, Muhyiddin berkata hasrat Malaysia untuk bertanding telah dimaklumkan dalam pertemuannya dengan beberapa pemimpin negara anggota pada Persidangan Agung Unesco ke-37 yang berlangsung sejak Selasa. “Kita minta supaya wakil mereka menyokong kita dan ia akan diputuskan pada persidangan agung pada 2015 nanti,” kata Muhyiddin yang mengakhiri lawatan kerja lima hari ke ibu negara Perancis, pada Sabtu bagi menghadiri persidangan agung berkenaan di ibu pejabat UNESCO di sini. Lembaga Eksekutif UNESCO dianggotai 58 negara, masing-masing selama empat penggal. Sementara itu, Muhyiddin berkata beberapa syarikat terkemuka Perancis menyatakan minat untuk memperluaskan pelaburan mereka di Malaysia terutamanya dalam bidang industri penerbangan, pengangkutan, logistik dan perkhidmatan. Dalam pertemuan dengan ketua-ketua industri Perancis pada Rabu, beliau berkata ada juga syarikat yang berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk mereka berkembang ke lain-lain kawasan di Asia Tenggara. “Dengan perjanjian perdagangan bebas yang telah kita meterai dan kedudukan kita yang strategik di kalangan negara-negara ASEAN, maka ini meningkatkan keyakinan mereka bahawa Malaysia merupakan tempat yang paling sesuai dan terbaik untuk mereka menjalankan operasi bukan saja untuk Malaysia tapi untuk rantau Asia Tenggara,” katanya. Beliau turut menjelaskan mengenai Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan bagaimana ia berperanan untuk menjadikan ekonomi Malaysia berkembang secara lebih seimbang, adil dan saksama. “Kita yakinkan kepada mereka bahawa apa saja inisiatif yang kerajaan buat di dalam negara untuk memperkukuhkan ekonomi mana-mana pihak termasuk Bumiputera, harus dilihat secara positif. “Sebenarnya ia membantu, bukan membantut peningkatan ekonomi Malaysia, jadi sepatutnya mereka tidak harus merasa bimbang tentang perkara itu,” katanya. – BERNAMA

utusan

Mengangkat Ekonomi Orang Melayu

Oleh NURUL ANUAR KARI

melayu

 

 

 

 

Abdul Rahim Tamby Chik

PENGUMUMAN Dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera merupakan kemuncak usaha kerajaan mengangkat kemampuan golongan pribumi agar dapat menikmati kekayaan tanah air mereka dengan lebih saksama.

Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB), dasar pertumbuhan negara mahupun Model Ekonomi Baharu (MBE) telah digubal dan dilaksanakan, dasar pemerkasaan ini memberi penekanan strategik dan bersejarah yang menunjukkan azam kerajaan dan keberanian ‘CEO’ negara.

Ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini juga membawa bersama harapan tinggi masyarakat bumiputera agar pelaksanaannya dapat mengurangkan jurang pendapatan, jurang sektor kerjaya dan jurang sektor ekonomi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagi Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik, pengisytiharan dasar baharu itu pasti dapat mengangkat ekonomi orang Melayu ke tahap kejayaan lebih tinggi berbanding dahulu.

“Dahulu agenda ekonomi bumiputera cuma dasar biasa di peringkat negeri dan Persekutuan, tetapi hasrat pemerkasaan ini menunjukkan kerajaan lebih serius dan tidak segan silu lagi untuk menjadikannya dasar nasional yang penting.

“Kita mahu lihat orang Melayu dan bumiputera yang mewakili 67 peratus ini memberi respons (positif), bukan lagi duduk tidak berubah. Paradigma kita, sikap dan sistem nilai-nilai kita, nak lihat generasi muda kita terangsang untuk turut serta, baru ada makna,” tegasnya.

Dasar baharu itu antara lain dikatakan memperluas kemudahan sedia ada, menubuh kembali unit-unit penyertaan bumiputera, geran fasilitasi, dana pembiayaan mikro dan mengangkat Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bertaraf menteri.

Teraju juga akan memantau agensi-agensi terbabit termasuk Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) di samping menyediakan pelan tindakan ke arah kejayaan ekonomi bumiputera dan mencipta lebih ramai usahawan-usahawan Melayu.

“Sedih melihat 18 ke 20 peratus sahaja syarikat Melayu yang ditubuhkan bertahan selepas 3 ke 4 tahun. Kita berharap, dengan pendekatan lebih teliti dan rasional dapat kurangkan kegagalan ini.

“Bukannya boleh terus berjaya dalam sekelip mata, perlu lihat pelan tindakan dengan mencipta lebih ramai usahawan bumiputera daripada kalangan yang sedia ada dan generasi muda di universiti-universiti kita,” katanya.

Beliau juga berpendapat pelan tindakan itu dapat mengenalpasti jumlah usahawan yang diperlukan bagi membolehkan syarikat bumiputera bersaing dan ambil bahagian dalam pembahagian semula kekayaan ekonomi negara.

Tambahnya, kemampuan bersaing itu seterusnya akan membawa kepada keadilan dan kesaksamaan untuk kaum bumiputera menikmati kehidupan yang baik di tanah air sendiri, dikongsi dengan pelbagai kaum dan bukan dimonopoli sesetengah pihak sahaja.

“Dasar pemerkasaan ini kemuncak kepada segala perjuangan ekonomi bumiputera dahulu dan juga kesan daripada keputusan PRU13.

“Tiada siapa boleh mempersoal usaha Najib ini dan mudah-mudahan hasrat beliau melihat kejayaan orang Melayu menjelang PRU14 akan menjadi realiti,” jelasnya.

Selain itu, Abdul Rahim turut berharap Perdana Menteri lebih peka terhadap usaha melihat syarikat milik kerajaan (GLC) diterajui kepimpinan yang betul dan tepat, khususnya dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Beliau berharap pertimbangan turut diberikan kepada golongan profesional yang berkelayakan dalam UMNO bagi mengimbangi pesara kakitangan awam yang dipilih menjadi Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah GLC.

“Daripada 3.4 juta ahli UMNO, ramai tokoh dan personaliti profesional yang berkelayakan dan tidak kurang hebatnya. Golongan ini juga mempunyai penghayatan perjuangan UMNO untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air kita.

“Selepas pemilihan kali ini, perlu ada usaha melihat golongan profesional sebagai aset parti dalam perjuangan ekonomi bangsa, merekalah wira-wira yang boleh menerajui agensi dan GLC,” katanya.

Berhubung pemilihan UMNO, beliau melihat peningkatan mendadak jumlah pengundi daripada 2,500 orang kepada 146,000 merupakan perkembangan paling sihat dalam sistem Demokrasi Berparlimen negara.

Beliau yakin setiap seorang daripada pemimpin akar umbi UMNO itu mampu membuat keputusan terbaik selepas menilai reputasi, kredibiliti dan rekod calon yang baik berbanding calon yang mencari tempat dan jawatan sahaja sehingga gagal melaksanakan perjuangan yang diharapkan ahli-ahli parti.

“Peningkatan bilangan pengundi juga dapat mengurangkan politik wang khususnya bagi mereka yang mencari habuan, jawatan, projek dan pangkat. Jika dahulu 2,500 mungkin boleh ‘pau’ semua tapi sekarang akan perlu hampir RM15 juta jika mahu beri seorang RM100.

“Secara berperingkat kita dapat mengikis hasrat golongan tersebut, kembalikan kesedaran untuk berjuang bagi mendapatkan keredaan Allah, bagi mempertahan agama kita, bangsa dan tanah air kita, bukan perjuangan mencari kebendaan,” tegasnya.

Walaupun umum ada termakan persepsi serong terhadap UMNO, Abdul Rahim yakin persepsi terhadap nilai-nilai parti boleh diubah dengan mengembalikan UMNO kepada asas perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berharap ahli-ahli UMNO tanpa perlu menunggu PRU14 benar-benar turun menolong dan menjuarai rakyat, perjuangkan untung nasib, kesusahan, penderitaan dan kesempitan rakyat.

“Hari ini, kebanyakannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara, makin kuat mereka membela untung nasib orang Melayu, makin terpinggir UMNO dan makin kecil suaranya.

“Ini amat bahaya, UMNO perlu bangun semula. Turun ke bawah, bekerjasama dengan NGO ataupun pegawai kerajaan untuk membela rakyat. Biar pejabat UMNO lebih aktif, lebih hebat daripada pejabat wakil rakyat dan pejabat kerajaan, sibuk nak tolong rakyat,” ujarnya.

Beliau berharap isu-isu masyarakat setempat menjadi agenda utama mesyuarat bulanan bahagian dan cawangan sebagai bukti warga UMNO prihatin kepada masalah rakyat dan bukannya mengejar pangkat atau harta.

“Untung nasib nelayan, guru, pekebun kecil, ibu tunggal, penjaja-penjaja kecil dan lain-lain perlu jadi agenda setiap bulan. Transformasi jentera UMNO, turun lebih hebat daripada NGO dan jabatan kerajaan bantu masalah rakyat.

“Ubah imej UMNO itu sendiri, harap generasi muda UMNO dan generasi sedia ada hayati perkara ini. Kena transformasi dari segi peribadi, barulah kebangkitan semula UMNO. Betulkan diri kita, orang akan kenang jasa kita pada PRU14 nanti tetapi jika gagal, malapetaka datang bila-bila masa sahaja,” jelasnya.

Back to list