MaGIC Rancang Bangun Pusat Sehenti Di Kuching Untuk Usahawan Muda Sarawak

borneo post

KUCHING: Kerajaan persekutuan melalui Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) merancang untuk membangunkan sebuah kawasan di bandar raya ini sebagai pusat sehenti bagi membangunkan usahawan terutama golongan muda di Sarawak.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, sebuah syarikat swasta telah menawarkan sebuah kawasan kilang seluas kira-kira 35 ekar bagi tujuan berkenaan.

“Kilang ini akan ditukar menjadi sebuah tempat di mana usahawan boleh membangunkan semua sistem berkaitan mereka dengan membawa usahawan muda dan dilatih dalam pelbagai sektor sama ada berorientasikan teknologi atau persembahan kebudayaan, kesenian serta tradisional dan sebagainya.

“Ini antara perkara yang kita sedang teliti kini dan berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk mengubah suai tempat berkenaan dan dimaklumkan kilang itu milik sebuah syarikat (CMS) tidak jauh dari sini (Pusat Konvensyen Borneo Kuching-BCCK),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis praperasmian Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2016 yang dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di BCCK di sini, semalam.

Mohd Irwan berkata, perbincangan dengan pihak berkenaan sedang dijalankan, justeru berharap ia akan menjadi kenyataan.

“Sejurus kawasan berkenaan dibangunkan, ia akan menjadi satu tempat atau ruang kepada generasi muda sama ada bekerja atau menzahirkan aktiviti yang menghasilkan produk mereka yang seterusnya menjadi produk berkelas dunia. Itu adalah tujuan sebenar kita,” katanya.

Selain itu, katanya, MaGIC juga merancang untuk memanfaatkan sebuah lagi unit di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuching sebagai MaGIC Kuching.

“Saya telah berbincang dengan Tan Sri (Morshidi) agar menyediakan satu ruang untuk digunakan MaGIC di Kuching, selain daripada yang sedia ada di Cyberjaya,” ujarnya.

Ini, kata beliau, bagi merangsang aktiviti MaGIC di Sarawak kerana masih banyak potensi yang belum diterokai.