Kerajaan Wujudkan Ekosistem Ekonomi Bumiputera Lahir Lebih Ramai Vendor Bumi

teraju dalam proses AUG

26 November, 2011 13:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Kerajaan akan mewujudkan ekosistem ekonomi Bumiputera yang lebih meluas yang akan melihat penglibatan syarikat Bumiputera berskala besar membantu dalam membangunkan lebih banyak vendor Bumiputera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu.

Katanya, dengan wujudnya ekosistem ini, ia akan dapat meningkatkan lebih banyak penyertaan syarikat Bumiputera lain.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, salah satu perkara utama yang ditekankan ialah apabila kontrak-kontrak diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, mereka hendaklah diberikan margin yang munasabah supaya apabila mereka mendapat kontrak-kontrak ini, ianya akan dapat memberikan kesan dan manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

“Saya nak ingatkan kepada badan-badan korporat yang besar, sama ada milik kerajaan atau swasta, jangan lepaskan batuk di tangga dalam hal ini,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di sini hari ini.

Sehubungan dengan ini, Najib mengumumkan penubuhan satu unit Bumiputera di bawah MRT Corporation yang merupakan pemilik projek dan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Katanya unit ini dengan kerjasama teraju akan menguruskan proses pemilihan, pengagihan dan pembangunan keupayaan Bumiputera dalam projek myMRT.

 

Menyentuh tentang Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, Najib berkata hala tuju ini merangkumi dimensi baru dasar dan strategi yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sedia ada dari segi tahap pendapatan dan pemilikan kekayaan.

“Matlamat khususnya ialah untuk memastikan bahawa apabila Malaysia mencapai Wawasan 2020, penyertaan Bumiputera dalam ekonomi lebih seimbang, terutamanya di dalam sektor pertumbuhan tinggi, pekerjaan berpendapatan tinggi dan pemilikan syarikat besar.

“Pada intipatinya, Hala Tuju ini menggariskan dasar, strategi serta inisiatif khusus untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera,” kata Perdana Menteri yang juga Presiden Umno itu.

Katanya Kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali jemu mengulangi tentang perlunya negara melakukan transformasi daripada pelbagai aspek untuk memastikan negara bergerak seiring dengan arus perubahan semasa global.

Ini termasuklah Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar yang semuanya digubal berlandaskan prinsip 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Najib berkata meskipun Hala Tuju Transformasi ini melibatkan Bumiputera secara langsung, manfaatnya akan dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Ini adalah kerana Bumiputera merupakan sebahagian besar penduduk negara tetapi apabila kekuatan ekonomi kaum Bumiputera dapat dilonjakkan, maka mereka akan mempunyai kuasa pembeli yang lebih.

“Mereka juga akan dapat melakukan usahasama dengan syarikat bukan Bumiputera dan mereka juga adalah pembeli kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan domestik,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata dokumen Hala Tuju adalah “living document” yang dinamik dan akan terus diubahsuai dan dikemaskini dari semasa ke semasa agar ia kekal relevan dengan perubahan landskap sosioekonomi di dalam dan luar negara.

Dokumen Hala Tuju merupakan pelan tindakan yang mengandungi inisiatif-inisiatif kukuh termasuk Quick Wins yang akan mendatangkan impak dalam masa terdekat.

 

Perdana Menteri berkata menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), banyak kejayaan telah dicapai termasuk menurunkan kadar kemiskinan, meningkatkan penyertaan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat dan meningkatkan bilangan golongan profesional Bumiputera.

“Walaupun terdapat banyak kejayaan semenjak DEB dilaksanakan, namun masih terdapat ketidakseimbangan semasa, dari segi tahap pendapatan dan pemilikan aset ekonomi.

“Penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi masih tidah berpadanan dengan peratusan bilangan penduduk Bumiputera dalam negara,” kata Najib.

Beliau berkata sungguhpun isi rumah Bumiputera 65 peratus keseluruhan isi rumah negara, sebahagian besar daripada mereka adalah di dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Pada masa yang sama, pegangan ekuiti korporat Bumiputera (pada nilai tara) syarikat berhad kekal pada 21.9 peratus pada tahun 2008, katanya.

“Peratusan ini masih tidak mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat yang ditetapkan. Oleh kerana itulah satu anjakan besar perlu dilaksanakan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera secara menyeluruh,” kata Najib.

Katanya, dengan pelancaran Hala Tuju ini, beliau yakin yang ianya akan menjadi titik permulaan kepada lonjakan ekonomi negara amnya dan kaum Bumiputera khususnya.

Hala Tuju Transformasi ini adalah berlandaskan kepada enam prinsip iaitu mesra pasaran, berasaskan keperluan, merit, ketelusan, pro-pertumbuhan serta daya saing mampan.

Tiga fokus strategik telah dikenalpasti iaitu pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian, pengukuhan pendidikan dan pembinaan keupayaan Bumiputera dan penumpuan kepada pemerolehan, pewujudan dan pembangunan perniagaan berskala besar.

— BERNAMA