Kerajaan Sabah Komited Bantu Usahawan Bumiputera Jadi Kontraktor Berwibawa

ber

KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama)– Kerajaan Sabah komited untuk membantu usahawan bumiputera menjadi kontraktor yang benar-benar berjaya dan berwibawa, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hamisa Samat.

Beliau berkata sehingga bulan ini, seramai 1,184 peserta telah menyertai kursus kontraktor berbanding 1,038 orang dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hamisa berkata kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan dan keistimewaan bagi menggalakkan penyertaan bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian.

“Antara sumber yang digunakan agar terus kekal dalam bidang ini ialah modenisasi sistem kerja yang melibatkan peningkatan teknologi, pembangunan sistem maklumat urus niaga yang cekap, pengukuhan sumber manusia, peningkatan kualiti kerja serta mengutamakan pelanggan,” katanya.

Hamisa berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis penutupan kursus kontraktor kerja kejuruteraan awam, di sini Khamis.

Katanya, kursus itu diharap dapat melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang berwibawa.

“Setiap ahli kontraktor memikul tanggungjawab dan amanah yang besar bagi menjayakan matlamat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian yang berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam tempoh Dasar Pembangunan Nasional.

“Mereka juga perlu memastikan projek yang diagih disiapkan dengan baik dan meningkat dari segi modal syarikat dan bilangan kakitangan profesional,” katanya sambil menyeru para kontraktor supaya mempelbagaikan kepakaran dalam pelbagai jenis perniagaan atau bidang yang diceburi.

— BERNAMA