Kerajaan Harap Lebih Ramai Graduan Ceburi Bidang Keusahawanan

borneo

SAMARAHAN: Kerajaan amat prihatin dan menitikberatkan keperluan dan cabaran para graduan universiti dalam mencari peluang pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan.

Justeru, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata kerajaan berharap lebih ramai graduan akan menceburi bidang keusahawanan.

“Oleh itu, TEKUN Nasional telah memperkenalkan program melahir dan membangunkan usahawan daripada kalangan siswazah muda (perintis) di mana ia merupakan satu inisiatif strategik di bawah agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

“Selain itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan dana sebanyak RM100 juta untuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) bagi para usahawan yang mempunyai idea perniagaan yang kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir 2014 (CIPTA 2014) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Naroden berkata kerajaan juga begitu aktif menggalakkan aktiviti keusahawanan terutama dalam kalangan graduan.

“Kita tidak menafikan bahawa bidang keusahawanan sememangnya diiktiraf sebagai antara bidang yang mampu memberi pulangan lumayan.

“Bagaimanapun, di Malaysia budaya keusahawanan masih lagi di peringkat permulaan terutama di Sarawak.

“Sehingga kini, penglibatan individu dalam memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya dilihat kurang berbanding kerjaya lain,” katanya.