Ekosistem Ekonomi Bumiputera

on9

Oleh Rohami Shafie

Sekalung tahniah buat Utusan Melayu yang baru sahaja merasmikan bangunan baharu pada tanggal 13 September yang lalu. Sudah 75 tahun Utusan Melayu menjadi wardah dan suara keramat orang Melayu. Hak-hak orang Melayu tetap diperjuangkan secara istiqamah dan pada masa yang sama tidak pernah sesekali menafikan hak-hak kaum lain.

Sesiapa yang membaca akhbar ini dan pada masa yang sama membaca akhbar-akhbar yang lain termasuklah portal berita akan dapat membandingkan betapa akhbar ini memperjuangkan hak saksama untuk semua rakyat Malaysia dan bukanlah akhbar yang ditohmahkan sebagai rasis atau perkauman.

Melalui akhbar Utusan Malaysia, hal-hal berkaitan Islam dan Raja-raja Melayu tetap dipertahankan berasaskan Perlembagaan Malaysia. Tidak terkecuali hal ehwal ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Utusan Malaysia menjadi barisan paling ke hadapan dalam memperjuangkan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Suara-suara orang Melayu dan Bumiputera berkaitan nasib ekonomi mereka berkumandang di akhbar ini. Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan suara-suara inilah yang menyebabkan kepimpinan tertinggi negara amat prihatian dengan nasib ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Sehari selepas perasmian bangunan baharu Utusan Melayu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ucapan meyakinkan oleh untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu dan kaum Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (Uitm).

Mengambil kata-kata Perdana Menteri “Kepada orang Melayu dan Bumiputera, usahlah bimbang dan gundah. Selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan, survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila”.

Kenyataan itu menggambarkan komitmen penuh kerajaan yang diketuai oleh orang Melayu dan Bumiputera dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Orang Melayu dan kaum Bumiputera tidak perlu lagi bersikap apologetik. Tiada unsur rasis atau perkauman dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera. Kaum-kaum lain tidak pernah diabaikan. Kalau diabaikan sudah lama ekonomi Malaysia dikuasai sepenuhnya oleh kaum Bumiputera. Tetapi lihatlah sekeliling kita, siapakah yang menguasainya?

Umum mengetahui, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kerajaan sedia ada mendapat sokongan majoriti orang Melayu dan Bumiputera maka tidak boleh sesekali mengetepikan sokongan ini dengan membiarkan nasib mereka tidak dibela. Sokongan jitu ini telah diterjemahkan oleh kerajaan dengan mengenal pasti lima strategi untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Mengkaji kelima-lima strategi yang digubal oleh kerajaan, saya dengan penuh yakin dengan izin Allah SWT, orang Melayu dan kaum Bumiputera akan semakin cemerlang dari sudut ekonominya pada masa akan datang.

Strategi pertama, untuk mendaya modal insan Bumiputera lebih ke arah untuk memacu pendidikan kaum Bumiputera agar berdaya saing bukan sahaja di arena tempatan tetapi juga di peringkat global.

Kaum Bumiputera tidak boleh leka dalam meningkatkan ilmu pengetahuan kerana ia mampu mengubah sosio ekonomi kaum itu sendiri. Seseorang yang berilmu tinggi dan bijak dalam mengamalkan ilmunya mampu mengangkat martabat keluarga dan kaumnya.

Orang Melayu dan kaum Bumiputera memerlukan lebih ramai cerdik pandai yang bukan setakat biasa-biasa sahaja tetapi juga yang benar-benar pakar dalam bidangnya. Kepakaran ini diterjemahkan untuk memajukan ekonomi kaum Bumiputera.

Misalnya, kaum Bumiputera masih ketinggalan dalam meramaikan akauntan yang benar-benar hebat walhal akauntan cukup penting dalam mana-mana organisasi. Rata-rata mereka yang dikategorikan sebagai akauntan yang hebat-hebat belaka ini diangkat menerajui syarikat-syarikat besar dikuasai oleh kaum Bumiputera seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Lagi ramai akauntan sebegini, lebih banyak syarikat berteraskan kaum Bumiputera diterajui oleh mereka yang benar-benar berbakat dan berkaliber. Hasil kemudiannya akan diterjemahkan dalam bentuk prestasi tinggi syarikat-syarikat Bumiputera.

Strategi kedua pula lebih ke arah untuk memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat. Strategi ini mampu melonjak ekuiti Bumiputera dengan adanya Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Skim Jejak Jaya Bumiputera untuk membantu syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia. Dengan pemilikan ekuiti, kaum Bumiputera akan dapat menambah kekayaan ekuiti seterusnya menguasai ekonomi.

Strategi ketiga menarik perhatian saya kerana selain mempertingkatkan aset kewangan, aset bukan kewangan terutamanya hartanah juga dititikberatkan. Pemilikan hartanah menjadi pemangkin kemajuan ekonomi kaum Bumiputera.

Fokus untuk memiliki hartanah di lokasi-lokasi strategik adalah tunjang untuk memasarkan produk-produk Bumiputera dengan lebih meluas lagi di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Misalnya, di Kuala Lumpur, sewajarnya bandar raya ini dikuasai oleh kaum Bumiputera. Dengan ini, ia dapat memudahkan produk-produk kaum Bumiputera dipasarkan dengan lebih menyeluruh berbanding di kawasan yang mempunyai kepadatan yang rendah. Sekali gus boleh menjadi hab untuk kaum Bumiputera, contohnya, hab makanan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Strategi seterusnya, untuk memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, pelbagai langkah bakal diambil. Peranan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) amat penting dalam menjayakan strategi ini.

Kedua-dua entiti ini perlu mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusan tertinggi yang berjati diri dalam membela nasib kaum Bumiputera selain benar-benar berbakat dalam memajukan ekonomi kaum Bumiputera.

Selain itu, prinsip know how menjadi teras utama dalam menjayakan strategi ini. Tidak boleh lagi mengamalkan prinsip know who yang akhirnya membantutkan ekonomi kaum Bumiputera.

Bagi menyokong keempat-keempat strategi tersebut, sistem penyampaian juga perlu diperkasakan. Tanpa sistem penyampaian yang ampuh, apa pun perancangan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Di bawah strategi ini, masyarakat Bumiputera bergantung kepada kejayaan segala tindakan yang akan dilaksanakan oleh Teraju dan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB).

Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera (Superb) menjadi pemangkin mewujudkan masyarakat keusahawanan dalam kalangan usahawan baru Bumiputera.

Kerajaan juga mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB). Diharapkan MEB dapat memantau pelaksanaan kelima-lima strategi di atas secara berterusan.

Sebarang kelemahan sepanjang pelaksanaannya perlu diperbetulkan dengan segera bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. Keanggotaan ahli MEB mestilah dalam kalangan mereka yang benar-benar berjiwa Melayu dan Bumiputera, sanggup bekerja pada setiap masa demi membela nasib kaum Bumiputera.

Mereka ini akan menjadi contoh kepada kaum Bumiputera untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam membina ekosistem ekonomi Bumiputera dan seterusnya menjayakan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera.

ROHAMI SHAFIE

Pensyarah Kanan

Perakaunan dan Kewangan

Pusat Pengajian Perakaunan (SOA)

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia