Dana Untuk Syarikat Bumiputera

Sabtu, 27 Ogos 2011 03:08 Utusan Online

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Dana Mudah Cara berjumlah RM2 bilion bagi kegunaan inisiatif-inisiatif Projek Permulaan (EPP) untuk syarikat bumiputera yang layak melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Teraju hari ini, Perdana Menteri berkata, penubuhan dana hasil kerjasama Teraju dan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) itu bertujuan meringankan isu pembiayaan yang menjadi kekangan kepada syarikat-syarikat bumiputera.

‘‘Dana ini akan menyediakan sokongan kepada Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bumiputera dan akan menjadi insentif tambahan bagi syarikat-syarikat yang memohon untuk mendapatkan bantuan di bawah program Teras yang dilancarkan Teraju pada 20 Julai lalu.

‘‘Ia juga akan menjadi sokongan kepada inisiatif-inisiatif lain yang telah dan bakal diperkenalkan untuk syarikat-syarikat bumiputera,” katanya.