Dana Pembiayaan Usahawan Akan Ditambah

utusan ler

thumb

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedia menambah dana pembiayaan pembangunan usahawan yang kini sebanyak RM280 juta dalam usaha membantu usahawan tempatan khususnya bumiputera mengembangkan perniagaan mereka termasuk ke peringkat global.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ketika ini sebanyak 70 peratus daripada dana tersebut telah pun digunakan, dengan 50 peratus daripada pembiayaan tersebut diberikan kepada usahawan bumiputera.

Beliau berkata, dana tersebut diberikan oleh kementerian melalui pelbagai agensi seperti Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), SME Bank dan SME Corp. antara lain bagi menggalakkan pembangunan industri halal negara.

“Dana ini masih lagi berbaki 30 peratus dan pada masa depan kementerian sedia menambahnya untuk membantu usahawan tempatan khususnya bumiputera mengembangkan perniagaan me­reka ke pasaran global,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program ‘Lawatan Turun Padang’ ke kilang Ramly Food Processing Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian IKS Mukim Batu, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin; Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Ramly, Datuk Ramly Mokni dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Ramly, Datin Shala Siah Abdul Manap.

Menurut Ahmad, antara masalah yang dihadapi oleh usahawan bumiputera ialah kurangnya keyakinan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa, justeru mereka masih perlu diberikan bantuan.

Dalam pada itu, beliau memuji kejayaan syarikat Ramly mengembangkan perniagaannya termasuk ke pasaran global dan menyarankan syarikat bumiputera terbabit memanfaatkan peluang pasaran melalui pelbagai perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Bukan mudah untuk mendapat jualan melebihi RM1 bilion setahun sebagaimana yang dilakukan oleh syarikat Kumpulan Ramly ini. Dengan kios burger sebanyak 25,000 dan Halal Mart sebanyak 50, ini merupakan satu kejayaan yang amat dibanggakan.

“Kejayaan Kumpulan Ramly ini sewajarnya dijadikan pendorong oleh usahawan bumiputera yang lain untuk membangun serta mengembangkan perniagaan me­reka. Kerajaan sememangnya sentiasa memberikan bantuan kepada mereka,” katanya.