Cadang Bina Bazar Tetap Usahawan Dalam Talian

 

tepuk

SALLEH ( kanan ) bersama Mohamad Alayuddin Che Hassan ( tengah ) dan Dr. Aini Ideris semasa melancarkan Mega Bazaar Hijra di Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini. utusan/SURIYA BONMA

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Wilayah Persekutuan Putrajaya bercadang menyediakan sebuah tapak bazar tetap untuk usahawan yang terlibat dengan perniagaan dalam talian.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Alayuddin Che Hasan berkata, pihaknya menganggarkan lebih 2,000 usahawan dalam talian akan mengambil bahagian dalam bazar tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan.

Katanya, mereka akan menjalankan perniagaan di kawasan disediakan selama empat bulan sebelum memberi peluang kepada rakan-rakan niaga dalam talian lain pula memperkenalkan produk masing-masing.

“Cadangan ini pasti boleh direalisasikan kerana tapak untuknya sudah ada cuma sekarang kita sedang menunggu kebenaran daripada pihak tertentu untuk menjayakannya.

“Melaluinya, pengunjung akan lebih mengenali lebih banyak perniagaan dalam talian selain usaha ini dapat meningkatkan kepercayaan para pengguna terhadap perniagaan tersebut,” katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Mega Bazaar Hijra’ 2016, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh.

Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris; Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Aris Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti, Amir Hamzah.

Mega Bazaar Hijra’ selama dua hari di Pusat Pameran Mid Valley melibatkan penyertaan seramai 158 usahawan dalam talian yang menjual beraneka produk seperti pakaian, fesyen berjenama dan makanan.

Sementara itu, Husni mengingatkan semua peniaga agar mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ini bagi memastikan perniagaan mereka dilindungi daripada segala perkara yang tidak diinginkan seperti denda maksimum RM50,000 dan dua tahun penjara jika didapati bersalah.

“Selain itu, kita harapkan peniaga dapat mengikuti latihan yang disediakan agensi bertanggungjawab agar lebih bersedia dengan sebarang masalah dan risiko yang sering dihadapi,” katanya.