Aset Bumiputera Ditambah

utusan

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI

utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 19 Dis. – Kerajaan negeri berusaha membantu meningkatkan ekonomi bumiputera dengan memberi fokus kepada pemerkasaan dan memperkukuhkan pemilikan aset mereka menerusi penawaran rumah mampu milik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sejajar dengan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, projek perumahan mampu milik dilihat dapat membantu mereka memiliki rumah sendiri selain menjamin masa depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah berusaha menukar status rumah kos rendah kepada rumah mampu milik dengan harga tidak melebihi RM110,000 bagi Projek Perumahan Mampu Milik Mukim Semabok bagi membolehkan rakyat memiliki kediaman yang lebih selesa.

“Sebanyak 476 unit rumah akan dibina menerusi projek pangsapuri kos rendah di atas tanah berkeluasan 7.56 ekar di Semabok oleh Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) dengan kos keseluruhan RM52 juta tidak termasuk tanah dan dijangka akan siap dalam tempoh dua setengah tahun.

“Ini juga merupakan pangsapuri mampu milik yang pertama di Malaysia yang mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM110,000 seunit, sementara rumah kedai pula dijual dengan harga RM200,000.

“Projek ini juga akan menempatkan empat buah pangsapuri sembilan tingkat, lapan buah rumah kedai, dewan serbaguna dan tapak surau serta pejabat pengurusan yang akan dibina di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Kerja-Kerja Pecah Tanah Perumahan Mampu Milik, Mukim Semabok, di Taman Pertam Jaya, di sini semalam.

Idris berkata, Pertam juga memberi subsidi RM18,840 setiap unit berbanding harga semasa iaitu RM160,000 dengan kos binaan RM128,480 seunit.

Katanya, pangsapuri itu juga merupakan yang pertama di Melaka yang menyediakan tabung sebanyak RM100,000 bagi perbadanan pengurusan untuk penyelenggaraan bangunan selepas hak milik strata dikeluarkan.

“Projek ini juga menamatkan isu pembinaan pangsapuri kos rendah yang sudah berlarutan hampir 12 tahun apabila Pertam berjaya mendapatkan semula tanah ini dari pemaju asal dengan mendapatkan pemilikan tanah ini melalui proses undang-undang,” katanya.