Agihan Dana Teraju Kepada Usahawan Bumiputera Lemah?

 

whuuuttttJOHARY MUSTAPHA

 

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) digesa meningkatkan tahap keberkesanan pengagihan dana serta program inisiatif pembangunan usahawan bumiputera yang kini dilihat tidak diuruskan secara efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forest Interactive Sdn. Bhd. yang merupakan antara syarikat teras Teraju, Johary Mustapha berkata, agensi itu kini seakan-akan hilang fokus dan tiada usaha untuk me­lakukan interaksi dan menyelami masalah yang dihadapi usahawan bumiputera.

Katanya, fungsi Teraju perlu diperhalusi selaras dengan objektifnya untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera.

“Contohnya dalam bajet 2016, kita dengar begitu banyak peruntukan yang disediakan kerajaan untuk usahawan bumiputera dalam pelbagai bidang.

“Tetapi Teraju langsung tidak berinteraksi dengan kami untuk membincangkan peluang yang boleh diperoleh daripada peruntukan yang diberikan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Teraju ditubuhkan sebagai sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang boleh dianggap sebagai setara dengan jawatankuasa Kabinet mengenai agenda ekonomi bumiputera.

Teraju dikenal pasti mempunyai bidang tanggungjawab dalam lima sektor kritikal iaitu keusahawanan, pembiayaan, pendidikan dan penggajian, penilaian institusi dan dasar serta pengurusan.

Tambah Johary, Teraju perlu melihat semula struktur, pengurusan sumber serta penilaian keberkesanan program untuk memastikan bidang tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan efisien.

“Kini saya tertanya-tanya apa jangkaan Teraju terhadap syarikat yang ‘berlindung’ di bawah agensi itu kerana sekarang kami seperti tiada fungsi.

“Kita hanya bimbang jika Teraju terus bersikap sambil lewa, semakin ramai usahawan Melayu yang kekurangan modal dan terus tersepit sekali gus agenda memperkasakan ekonomi bumiputera yang dilaungkan oleh kerajaan tidak tercapai,” katanya yang juga merupakan Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP).