800 Petugas Tabung Haji Berkhidmat Di Tanah Suci Musim Haji Ini

teraju dalam proses AUG

15 September, 2012 15:26 PM

PETALING JAYA, 15 Sept (Bernama) — Seramai 800 orang petugas Tabung Haji akan berada di tanah suci sepanjang musim haji kali ini bagi memastikan bakal jemaah haji Malaysia dapat mengerjakan rukun Islam kelima itu dengan selesa dan sempurna.

Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata petugas berkenaan terdiri daripada pasukan perubatan, pembimbing ibadah, kebajikan dan petugas media.

Beliau menghadiri majlis pelepasan 88 petugas Tabung Haji yang terdiri daripada pasukan perubatan, pembimbing ibadah, kebajikan dan petugas media yang akan berlepas ke Makkah dan Madinah petang ini.

“Ini merupakan penghantaran keempat selepas pasukan pertama kira-kira 250 orang yang terdiri daripada petugas teknologi maklumat yang berlepas 5 Sept lepas,” katanya kepada pemberita di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini hari ini.

Beliau yakin semua petugas telah bersedia yang antara mereka sudah berada di Makkah dan Jeddah untuk menyambut bakal jemaah haji Malaysia.

Syed Saleh berkata penerbangan pertama bakal jemaah haji Malaysia ialah seramai 350 orang yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang melalui penerbangan sewa khas dengan menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Saudi Airlines.

“Para jemaah akan bertolak dari KLIA pada pukul 1.30 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 5.50 pagi waktu Arab Saudi dan ketibaan mereka akan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Omar Mohamad Al-Saggaf,” katanya.
— BERNAMA