17 Syarikat Sarawak Terima Dana Teraju

ber

KUCHING, 17 Okt (Bernama) — Sebanyak 17 syarikat di Sarawak menerima dana daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di bawah Skim Usahawan Permulaan Bumiputera membabitkan nilai pinjaman berjumlah RM121,329,762.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyampaikan cek dana berkenaan kepada pemohon yang berjaya pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2015, di sini malam tadi.

Berucap pada majlis berkenaan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais berkata setakat ini, sebanyak 42 syarikat di negeri ini telah mendapat pinjaman menerusi skim itu.

Beliau berkata semakin banyak usahawan di Sarawak layak memohon dana berkenaan, setelah Teraju melonggarkan syarat kelayakan untuk memohon skim tersebut.

Katanya usaha memperkasakan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan menjadi teras utama kerajaan dalam persediaan jangka panjang bagi menghadapi keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa ini.

“Usaha murni kerajaan ini perlu didokong bersama oleh usahawan untuk memastikan negeri dan negara ini terus berada di landasan yang kukuh menuju ke arah kemakmuran sosioekonomi,” katanya.

Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan, beliau berkata kerajaan melaksanakan pelbagai program keusahawanan seperti pembangunan kapasiti, pembangunan produk, bantuan dana, pembangunan premis perniagaan serta pemasaran produk.

“Kegigihan kerajaan untuk membantu usahawan perlu dimanfaat sebaiknya demi untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Bumiputera standing dengan masyarakat lain,” katanya.

— BERNAMA