5,000 Usahawan Hadiri GREAT 2016

borneo

KUCHING: Seramai 5,000 usahawan hadir di Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2016 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), GREAT 2016 diilhamkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) melalui Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional (NEDO).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan MOF Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, GREAT 2016 menghubungkan usahawan daripada semua peringkat termasuk pakar-pakar daripada pelbagai industri.

“Sarawak dipilih sebagai lokasi GREAT 2016 kerana potensi luas serta ekonominya selain mempunyai ramai bakat muda yang inovatif.

“Menerusi penganjuran program seperti ini juga kita berharap Sarawak akan menjadi pusat yang memberi latihan kepada usahawan muda pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran GREAT 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak di BCCK semalam.

Sebanyak 53 agensi mengambil bahagian pada GREAT 2016 untuk memberi panduan dan bantuan kepada usahawan tempatan.

Sebanyak 33 program dan 13 sesi ceramah diadakan sepanjang program dua hari iaitu pada 2 dan 3 April ini untuk para usahawan yang hadir.

Pada program ini juga, para usahawan turut berpeluang menerima nasihat mengenai akses pasaran dan peluang dalam rantau ASEAN melalui Pusat Keusahawanan ASEAN (ACE).

GREAT 2016 juga menampilkan penceramah keusahawanan antarabangsa seperti Pengarah Serantau Asia Tenggara di TechStars Oko Davaasuren dan Pengarang/Usahawan From The Other Side Of The World Emira Bayrasli yang memberikan pandangan mengenai keusahawanan yang diamalkan di Amerika Syarikat.

Para hadirin dan usahawan juga mempunyai peluang untuk menghadiri panel dan kelas master pelbagai agensi dan usahawan yang berpengalaman.

Di samping itu, para usahawan turut mendengar ceramah, membincangkan pembangunan keusahawanan serta mendapat bimbingan daripada agensi kerajaan yang turut dihadiri usahawan selebriti seperti Andy Flop Poppy, Nazril Idrus (Nash) dan Sazzy Falak.